fbpx

Laluan tikus sentiasa berubah, sukar bendung penyeludupan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kok Chin pada sidang akhbar rampasan dadah bernilai RM10.9 juta di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.

SUBANG JAYA – Laluan tikus yang menjadi jalan pengedar dadah menyusup masuk bekalan di sekitar pintu sempadan negara didapati kerap berubah mengikut operasi dan kawalan dilakukan pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (JSJN), Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, laluan tersebut kerap digunakan sindiket untuk membawa masuk bekalan bagi mengedar dadah di dalam negara.

Katanya, selain tujuan mengedar untuk pasaran tempatan, sindiket turut menjadikan negara ini sebagai transit sebelum diedarkan ke negara lain dengan harga yang berlipat kali ganda.

“Sukar untuk kita tetapkan berapa banyak laluan tikus digunakan sindiket pengedaran dadah. Rata-rata dadah yang dirampas dibawa masuk dari negara jiran dan mengikut permintaan pasaran tempatan.

“Di luar negara, dadah ini djual sehingga lima kali ganda dari harga pasaran tempatan yang mana RM33,000 per kilo untuk syabu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Katanya, kawalan di sekitar sempadan negara sentiasa diperketatkan dengan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Batasan sangat luas di sempadan negara khususnya di utara, selatan dan Sabah serta Sarawak, dengan kerjasama ini kita dapat banteras penyeludupan dadah di dalam negara ini,” katanya.

18 Oktober lalu, media melaporkan sebanyak 193 sindiket dadah ditumpaskan polis dengan menahan 612 ahli bagi tempoh Januari hingga September lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata secara perbandingan, terdapat penurunan bagi tempoh sama pada 2023 yang merekodkan sejumlah 245 sindiket ditumpaskan dan 791 ahli sindiket berjaya ditangkap.

Dari aspek rampasan pula, dalam operasi yang dijalankan bermula Januari hingga September 2024, sejumlah 8,996.1 kilogram pelbagai jenis dadah dan 4,749.05 liter pelbagai jenis cecair dadah serta 39,105.37 kilogram daun ketum dan 43,499.85 liter air ketum telah berjaya dirampas.

Secara keseluruhan, jumlah rampasan terbabit telah berjaya menyekat penggunaan dadah kepada 44.98 juta orang.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI