JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri antara tiga suspek ditahan kerana dipercayai berperanan sebagai transporter bagi satu sindiket dadah yang telah beroperasi sejak Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, tiga suspek itu terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 40 hingga 58 tahun.
Menurut beliau, operasi yang dijalankan di Bandar Seri Alam di sini bermula pukul 9.30 malam 18 Oktober lalu turut menemukan 20 bungkusan syabu bernilai lebih RM700,000.
“Ketiga-tiga suspek dipercayai berperanan sebagai transporter dengan mengambil bekalan dadah daripada sindiket di Kuala Lumpur sebelum menggunakan sebuah kenderaan sebagai stor simpanan.
“Setelah itu, dadah berkenaan akan ditinggalkan dengan kereta tersebut beserta kuncinya sekali, sebelum pihak ketiga datang mengambilnya. Setiap bungkusan dadah itu dijual pada harga RM30,000,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, seorang lelaki berusia 58 dan isterinya, 45 tahun merupakan dalang kepada kegiatan itu manakala seorang lagi lelaki berusia 40 tahun adalah pemandu yang mengambil dadah tersebut.
“Ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, tetapi hasil urin mendapati mereka negatif sebarang penyalahgunaan dadah.-KOSMO! ONLINE