PETALING JAYA – Penceramah bebas, Ustaz Adnin baru-baru ini mengeluarkan kenyataan kontroversi dengan menyatakan bahawa mendengar lagu APT nyanyian antarabangsa, Bruno Mars dan Rosé Blackpink boleh dianggap sebagai ‘zina telinga’.
Menurutnya dalam satu hantaran di TikTok, lirik dalam lagu tersebut mengandungi unsur yang mengajak kepada pergaulan bebas, zina dan pengambilan alkohol yang dianggapnya bertentangan dengan prinsip agama.
“Zina bukan sekadar zina kemaluan (melakukan persetubuhan luar nikah) tetapi ada juga zina mata (melihat benda haram), zina hati (membayang benda haram), dan zina telinga (mendengar benda haram),” ujar Ustaz Adnin.
Beliau menjelaskan bahawa mendengar lagu yang mengandungi unsur yang tidak bermoral termasuk dalam zina telinga kerana ia boleh merosakkan iman dan hati seorang Muslim.
Tambahnya, komposer lagu itu adalah seorang yang menyokong ideologi zionis dan secara terang-terangan menyokong Israel.
Bukan itu sahaja, Ustaz Adnin menegaskan bahawa masyarakat perlu berwaspada terhadap hiburan sebegini yang dianggapnya sebagai alat melalaikan umat Islam.
“Ramai di antara kita yang sangat semangat membenci Israel, tetapi apabila zionis menyajikan hiburan, kita mudah terpengaruh dan lalai, mengorbankan prinsip agama semata-mata untuk tular,” katanya.
Kenyataan beliau mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-rata bersetuju dengan pandangan tersebut dan melihatnya sebagai peringatan.
“Seronok je dengar sebelum ni, baru tahu lagu tu zina. Terima kasih ustaz,” komen Rey.
“Masalahnya, lagi ditegur, lagi ramai orang muat naik lagu tu. Macam tak ada apa-apa berlaku,” ujar Zera.
“Dari awal dengar lagu ni pun dah tahu maksud dia tapi makin lama makin popular,” kata Miera. – KOSMO! ONLINE