fbpx

Kesilapan pandu arah, kapal usang punca KD Pendekar tenggelam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KD Pendekar

KUALA LUMPUR – Faktor keusangan dan kesilapan pandu arah menyebabkan Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Pendekar karam ketika melakukan rondaan operasi di Tanjung Penyusop, Johor pada 25 Ogos lalu.

Markas Tentera Laut dalam kenyataan memaklumkan, Lembaga Siasatan mendapati faktor itu menyumbang kepada insiden berkenaan.

“Insiden berlaku apabila kapal menghadapi gegaran kuat diikuti kebanjiran besar semasa menghampiri pesisir pantai untuk melakukan pemeriksaan teknikal.

“Semua 39 kru kapal berjaya dipindahkan dengan selamat ke kapal dagang MV ASHLEY tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambah kenyataan itu, faktor keusangan kapal yang melebihi Dasar Kasting iaitu berusia 45 tahun telah menyukarkan kawalan kebanjiran berikutan kelemahan struktur badan kapal dan mempercepatkan kebanjiran merebak ke kompartmen lain.

“Usaha menyelamat dan mengapungkan KD Pendekar berjaya diselesaikan pada 15 Oktober lalu oleh sebuah firma tempatan dan kapal kini dalam proses pemeriksaan teknikal,” katanya.

Dalam pada itu, TLDM turut mengesahkan kematian penyelam TLDM Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa semasa melakukan operasi salvaj KD Pendekar disebabkan lemas.

“Keadaan di kawasan operasi yang arusnya tidak menentu dan memukul lumpur di dasar laut mengakibatkan jarak penglihatan menjadi sangat terhad iaitu sekitar 0.3 meter pada hari kejadian.

“Keadaan ini meletakkan penyelam berada pada situasi berisiko tinggi dan tekanan kerja yang mencabar.

“Apabila tali keselamatan yang digunakan oleh penyelam didapati tersangkut pada kapal tersebut, langkah kecemasan yang dilakukan mangsa tidak berhasil seterusnya menyebabkan beliau lemas,” katanya

Tambah kenyataan itu, siasatan mendapati prosedur operasi standard penyelaman dan langkah keselamatan telah dipatuhi sebelum tugasan penyelaman dimulakan selain peralatan turut disahkan berfungsi dengan baik dan mangsa disahkan kompeten.

Justeru itu, TLDM mengambil serius terhadap dapatan kedua-dua insiden terbabit selain mengutamakan keselamatan dan kesiapsiagaan anggota dalam menjalankan tugas dengan sempurna mengikut garis panduan ditetapkan.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI