fbpx

Kemajuan projek ECRL di Selangor catat 40.34 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Terowong Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Batu Dua Belas Gombak, Selangor di sini hari ini. -Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

GOMBAK – Kemajuan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor mencatatkan kemajuan sehingga 40.34 peratus setakat September tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari berkata, meskipun kemajuan itu lebih rendah berbanding peratusan keseluruhan, beliau percaya masih ada usaha yang boleh dijalankan untuk memastikan pembinaan tersebut dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Antara kerja-kerja infrastruktur yang sedang pesat dijalankan kini termasuklah kerja-kerja tanah serta pengukuhan tanah, pengorekan terowong, kerja-kerja cerucuk, pelancaran rasuk jejambat serta pembinaan stesen.

“Stesen Terminal Bersepadu Gombak telah mula pembinaan pada Jun lalu yang merupakan stesen ECRL yang pertama dibina di negeri Selangor,” katanya ketika berucap pada Majlis Penembusan Terowong ECRL Gombak, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, stesen penumpang itu akan memudahkan pengguna di Lembah Klang melakukan perjalanan terus ke negeri Pantai Timur atau sebaliknya apabila ECRL mula beroperasi pada Januari 2027,” ujarnya.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, kerajaan Selangor menyambut baik inisiatif untuk merancakkan lagi kawasan Bandar Serendah sebagai lokasi penting pemindahan kapal atau hab pertukaran kargo baharu di negeri itu.

“Kami berterima kasih kerana inisiatif seterusnya akan menambah pertumbuhan industri seperti automotif, pengkeretaapian, besi waja dan aero-angkasa oleh syarikat utama.

“Dengan perancangan yang baik, hari ini satu lagi kejayaan dengan penembusan Terowong ECRL Gombak di mana lokasi ini menuju ke pintu masuk utama ibu negara,” jelasnya.

Justeru, kata Amirudin, Kerajaan Selangor juga berhasrat agar Jajaran Rel Kita Selangor dapat direalisasikan sekali gus membugarkan potensi ekonomi di kawasan seperti Kapar, Jeram, Kuala Selangor sehinggalah ke Tanjong Karang dan Sabak Bernam.

Untuk rekod, jajaran utama ECRL sepanjang 92 kilometer di Selangor melibatkan pembinaan lima buah stesen bagi tujuan penumpang dan kargo. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI