fbpx

JSPT atur gerak kawal kesesakan sepanjang cuti Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman (JSPT) mengatur gerak 2,752 orang pegawai dan anggota di seluruh negara bagi memastikan kelancaran pergerakan lalu lintas sepanjang tempoh cuti Deepavali pada hujung minggu ini.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, maklumat awal diperoleh daripada pihak konsesi lebuh raya mendapati sejumlah 2.62 pengguna jalan raya dijangka dalam tempoh sehari sepanjang tempoh percutian itu.

“Bagi mengatasi kesesakan, pihak PLUS Berhad mengaktifkan 21 lokasi smartlane di beberapa laluan terpilih.

“JSPT menjangkakan kesesakan pergerakan ke pantai timur, utara dan selatan. Namun pergerakan kenderaan di bahagian pantai barat juga akan berlaku peningkatan yang ketara seperti Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Pulau Pinang,” katanya hari ini.

Tambah beliau, tindakan advokasi, penyuraian aliran trafik dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan kepada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan jalan raya.

“Orang ramai khasnya kenderaan berat atau perdagangan diminta memastikan kenderaan tersebut berada di tahap yang terbaik serta mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

“Pengguna jalan raya diminta bertimbang rasa dan bertolak ansur dengan pengguna kenderaan lain,” katanya.

Tambah beliau, bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini, orang ramai diminta merancang sebelum memulakan perjalanan terutama melibatkan perjalanan yang jauh.

“Selain itu, peka dengan persekitaran sekeliling dan maklumat semasa disampaikan daripada pihak agensi kerajaan juga pihak konsesi lebuh raya,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI