PETALING JAYA – Johor Port Berhad (Johor Port) telah menerima Sistem Anugerah Pelabuhan Hijau 2024 atau Green Port Award System (GPAS) (Anugerah GPA 2024) iaitu yang mengiktiraf kecemerlangan untuk mengekalkan alam sekitar dalam operasi pelabuhan yang mampan.
Anugerah yang disahkan oleh Majlis Rangkaian Perkhidmatan Pelabuhan APEC atau APEC Port Service Network (APSN) itu, menonjolkan komitmen berterusan Johor Port terhadap kemampanan dan inovasi dalam operasi pelabuhan serta membezakan pelabuhan sebagai operator terkemuka dalam logistik Hijau dan cekap di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md Derick Basir berkata, penghargaan ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi Johor Port untuk mewujudkan persekitaran operasi yang mampan dan mesra alam, selaras dengan matlamat Malaysia untuk inovasi Hijau dan industri Maritim global dengan objektif untuk penjagaan alam sekitar.
“Kami amat berbesar hati dengan pengiktirafan ini dan akan terus menerajui amalan mampan di seluruh operasi kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Menurut Md Derick, sebagai penerima Anugerah GPAS 2024, Johor Port mengukuhkan misinya untuk memacu kemampanan alam sekitar dan kecemerlangan operasi dalam sektor pelabuhan Asia Tenggara, menetapkan penanda aras baharu untuk logistik hijau di rantau ini.
Inisiatif Hijau Johor Port telah memenuhi piawaian tinggi yang ditetapkan untuk pengiktirafan ini, mengesahkan inisiatif alam sekitar pelabuhan dan pematuhan kepada amalan terbaik selaras dengan pergerakan global ke arah pembangunan mampan dalam logistik maritim.
Syarikat tersebut telah melaksanakan strategi hijau komprehensif yang mengutamakan kecekapan tenaga, penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui, pemantauan pencemaran udara, pengurusan sisa yang berkesan, amalan air mampan, elektrifikasi peralatan dan penyelenggaraan landskap hijau di dalam pelabuhan. -KOSMO! ONLINE