KUALA LUMPUR – Keretakan rumah tangga selebriti menjadi topik bualan ramai, pasangan pelakon Sweet Qismina dan Adam Lee mengakui lebih selesa mengunci mulut daripada mengulas isu tersebut.
Fokus terhadap rumah tangga sendiri, Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 27, berkata, dia dan suami enggan masuk campur urusan orang lain agar tidak terheret dalam kontroversi sama.
“Apa-apa sahaja yang berlaku dalam industri sama ada kawan baik atau tidak kami ambil pendirian enggan kongsi atau sokong mana-mana pihak. Kami lebih selesa untuk berdiam diri.
“Sebagai manusia biasa, kami juga ada aib nak kena jaga dan ada rezeki yang Allah tengah jagakan. Kalau boleh tak mahu rosakkan apa yang kami ada sekarang. Lebih baik fokus kepada rumah tangga kami sendiri.
“Jadi sebab itu kami enggan bercakap apa-apa apatah lagi mengulas lanjut isu rumah tangga orang lain meskipun rakan selebriti sebab tak mahu terkena tempias,” katanya kepada Kosmo! Online ketika majlis pelancaran filem berjudul Babah, di sini, semalam.
Senada dengan prinsip isteri, Adam atau nama sebenarnya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 30, percaya setiap manusia diuji dengan ujian berbeza dan enggan ikut campur dek bimbang andai mereka juga berdepan situasi sama kelak.
“Saya rasa, diam lebih baik. Macam kami sendiri, saya tak tahu apa yang berlaku dalam hubungan kami. Semua itu ketentuan Allah. Kita kena berdoa banyak-banyak.
“Nak mengulas lebih-lebih pun, industri seni ini kecil sahaja. Kemudian hari akan jumpa orang yang sama.
“Jaga aib sendiri dan jadikan semua itu sebagai pengajaran,” jelasnya.
Adam dan Sweet mendirikan rumah tangga pada 24 Oktober 2022 dan baru sahaja menyambut ulang tahun kedua perkahwinan mereka beberapa hari lalu. – KOSMO! ONLINE