fbpx

IOI Properties lancar IOI Rio City berkeluasan 40 hektar di Puchong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nyuk Kiong (kanan) dan Chris Chong (kiri) bergambar bersama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan IOIPG, Teh Chin Guan (tiga kanan) di Majlis Pelancaran dan Tayangan Media IOI Rio City, hari ini.

PUCHONG – IOI Properties Group Berhad (IOIPG) telah melancarkan IOI Rio City, sebuah projek pembangunan bersepadu yang terletak di atas tanah seluas 40 hektar (100 ekar) bernilai RM12 bilion di Bandar Puteri Puchong, hari ini.

Berkonsepkan ‘bandar 15-minit’, pembangunan dalam tempoh 12 tahun ini menyediakan akses mudah ke pelbagai kemudahan serta ideal bagi gaya hidup urban moden.

Pengurus Besar Kanan, (Puchong) IOIPG, Chung Nyuk Kiong, berkata, IOI Mall Rio yang menempatkan lebih daripada 300 kedai dengan keluasan sejuta kaki persegi, juga akan dibangunkan dalam memastikan IOI Rio City menjadi destinasi utama di Puchong,

“Pembangunan ini mengintegrasikan kemudahan perumahan, perniagaan, dan runcit dalam satu kawasan, dengan hampir 1,600 unit kondominium, kedai kejiranan, dan rumah kediaman.

“Dalam memastikan kelestarian projek ini, IOIPG bekerjasama dengan firma perancang bandar Amerika Syarikat, Arcadis, yang terkenal dengan perancangan bandar pintar dan reka bentuk lestari,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran dan Tayangan Media IOI Rio City, di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Pelaburan Hartanah IOIPG, Chris Chong, berkata, lokasi strategik Bandar Puteri Puchong yang berhampiran dengan lebuh raya utama seperti Damansara-Puchong, Shah Alam, dan Lebuhraya Bukit Jalil, turut memudahkan akses penghuninya ke Kuala Lumpur, Subang Jaya, dan Putrajaya.

Oleh itu, untuk mengurangkan kesesakan trafik jelas beliau, IOIPG telah melabur dalam sistem infrastruktur yang komprehensif termasuk terowong dan laluan masuk khusus ke tempat letak kereta bawah tanah di IOI Rio City.

“Sistem parkir pintar juga disediakan untuk mengoptimumkan aliran trafik. IOIPG juga sedang mempertimbangkan pembinaan jambatan terus dari Persimpangan Bandar Puteri Puchong ke kawasan komersial berhampiran.

“Reka bentuk tempat letak kereta bawah tanah yang terbuka turut menggalakkan pengudaraan semula jadi serta pencahayaan sensor untuk mengurangkan penggunaan tenaga,” ujarnya.

Dengan akses mudah ke pengangkutan awam seperti stesen Transit Aliran Ringan Taman Perindustrian Puchong dan laluan pejalan kaki berbumbung, IOI Rio City jelas menyokong gaya hidup mesra pejalan kaki dan pengangkutan alternatif seperti basikal dan kenderaan elektrik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI