fbpx

Hentikan projek HSR utamakan projek antara negeri-negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tan Teng Boo

PETALING JAYA – Seorang penganalisis pasaran saham dan pakar ekonomi yang berpengalaman luas dalam kedua bidang tersebut, Tan Teng Boo  berpendapat, Malaysia seharusnya menghentikan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang bernilai berbilion ringgit dan sepatutnya memberi tumpuan kepada rangkaian domestik.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Capital Dynamics dan wakil icapital.biz Bhd,  menerangkan sekiranya  HSR dilaksanakan, maka ramai yang akan tinggal di Kuala Lumpur tetapi bekerja di Singapura.

“Malaysia akan mengalami lebih banyak pengaliran keluar tenaga kerja berkemahiran kerana rakyat akan memilih untuk bekerja di Singapura yang berpendapatan tinggi. Manfaatnya akan lebih kepada Singapura dan bukan Malaysia,” katanya pada program Hari Pelabur 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Projek landasan kereta api sepanjang 350 kilometer antara Kuala Lumpur dan Singapura ini bertujuan untuk mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar tersebut kepada 90 minit daripada lebih empat jam dengan kereta. 

Keputusan mengenai status projek ini akan diumumkan oleh kerajaan tidak lama lagi.

Teng Boo menjelaskan, kerajaan disarankan agar memfokuskan kepada rangkaian antara negeri-negeri di Malaysia, terutamanya dari kawasan luar bandar ke bandar. 

“Oleh itu, negara secara keseluruhannya akan mendapat lebih banyak manfaat daripada hasil ini,” jelas beliau.

Selain itu, mengulas mengenai prestasi pasaran saham pada masa depan, beliau menerangkan, indeks FBM KLCI bakal  mencapai antara 2,500 hingga 3,000 dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Menurut beliau,  keutamaan icapital.biz kini kini adalah untuk mengubah masyarakat umum untuk menjadi pelabur yang lebih bijak dan berpengetahuan.

“Pelabur bijak akan membawa kepada pasaran modal yang lebih baik. Ini akhirnya akan menjadikan ekonomi negara  lebih berdaya tahan dan tempat tinggal yang lebih baik daripada segi sosial,” jelasnya.

Program Hari Pelabur 2024  telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 2,000 peserta dengan kehadiran pakar-pakar industri, pemimpin-pemimpin korporat antarabangsa dan pelajar-pelajar untuk membincangkan masa depan negara, sektor perniagaan yang akan berkembang dan juga mempersoalkan tentang tujuan hidup.

Menurut beliau, acara  ini bukan hanya ditujukan kepada pelabur berpengalaman tetapi juga kepada pelabur baharu dan juga bakal pelaburbagi mendapatkan  pengetahuan tentang kewangan yang lebih baik dan kemahiran melabur dengan  lebih bijak.

Hari Pelabur 2024 telah mengatur 17 program menarik yang diadakan melalui dua saluran persembahan selari, sesuai untuk semua jenis pelabur, yang menyampaikan pandangan penting dan peluang bertindak dalam dunia pelaburan. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI