MEXICO CITY – Impian Carlos Sainz untuk sekurang-kurangnya memenangi satu lagi perlumbaan Formula Satu (F1) bersama Ferrari akhirnya tertunai selepas dia menjuarai Grand Prix (GP) Mexico di Autodromo Hermanos Rodríguez awal pagi semalam.
Memulakan perlumbaan di petak pertama, pelumba Sepanyol itu dipintas Max Verstappen dari Red Bull Racing sebaik sahaja saingan dimulakan, namun dia kembali berada di hadapan pada pusingan kesembilan.
“Saya fikir semua orang tahu bahawa saya mahu memenangi satu lagi perlumbaan bersama Ferrari dan memang saya layak untuk mendapatkannya. Saya bekerja keras dan beraksi dengan baik sepanjang musim ini.
“Motivasi saya cukup tinggi untuk memberikan segala-galanya kepada pasukan ini dan impian saya dapat ditunaikan di Mexico City. Ibu saya juga ada di sini, ia membuatkan kemenangan lebih berharga,” katanya.
Saingan 2024 merupakan musim terakhir Sainz bersama pasukan dari Itali itu memandangkan tempatnya bakal diisi juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton selain dia juga sudah bersetuju menyertai Williams.
“Secara jujur, saya sangat gembira kerana mampu untuk kembali memimpin perlumbaan selepas dipintas Verstappen. Kemenangan ini juga membuatkan saya mahu memenangi lebih banyak perlumbaan selepas ini,” ujarnya.
Sementara itu, Verstappen dikenakan penalti sebanyak 20 saat atas pemanduan agresif ketika bersaing dengan pencabar kejuaraan dunia dari McLaren, Lando Norris sebelum dia menamatkan perlumbaan di tempat keenam. – AGENSI