HULU TERENGGANU – Nasib dua beradik perempuan yang menjadi yatim piatu sekelip mata setelah ibu bapa dan abang sulung mereka maut dalam kemalangan ngeri di Lojing, Gua Musang, Kelantan pada Jumaat lalu terbela apabila mereka diambil menjadi anak angkat oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Sebagai anak angkat, kebajikan dan pelajaran Nur Jihan Irdina Mohd. Junaizi,13,dan adiknya, Nur Anis Zahra Nazihah,12, akan dipantau secara berkala oleh Perkeso sehingga dewasa.
Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, dua beradik itu juga layak menerima faedah pencen penakat berjumlah keseluruhan RM435 sebulan hasil caruman ibubapa mereka sebelum ini.
“Mereka yang kini di bawah jagaan nenek, Hasmah Abu Bakar, 63, akan menerima faedah pencen penakat bulanan tersebut sehingga berusia 21 tahun atau menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.
“Selain itu, Hasmah juga layak menerima faedah sama sebanyak RM507 sebulan berikutan caruman seorang lagi anaknya, Farhana Ismail, 35, yang turut terkorban dalam nahas tersebut,” katanya ketika menziarah keluarga tersebut di Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu hari ini.
Kosmo! Ahad lalu melaporkan nahas melibatkan sebuah lori membawa muatan batu dan kereta Perodua Myvi mengorbankan lima nyawa termasuk
empat sekeluarga iaitu Mohd. Junaizi Jusoh, 48; isterinya, Shazwani Ismail, 39; serta anak mereka, Muhammad Fakrul Danish, 18, dan Farhana yang juga adik Shazwani.
Kemalangan di Kilometer 86, Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang itu berlaku sewaktu Mohd. Junaizi dan keluarganya dalam perjalanan untuk bercuti di Cameron Highlands, Pahang. – KOSMO! ONLINE