KUALA LUMPUR – Peguam syarie yang mewakili pelakon Diana Danielle iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir mengesahkan anak guamnya sudah memberi arahan untuk meneruskan proses memfailkan perceraian terhadap suami, Farid Kamil.
Menurut Akberdin, pihaknya akan memfailkan perceraian itu dalam waktu terdekat di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor.
“Betul, anak guam saya sudah arahkan untuk teruskan (failkan rujuk dan perceraian).
“Diana juga sudah beri arahan untuk memfailkan dan saya sedang menyediakan dokumen berkaitan proses rujuk dan cerai sekali. Kami akan failkan dalam bila-bila masa sahaja,” katanya.
Dia juga memberitahu Diana juga sudah nekad dengan keputusannya untuk bercerai dengan Farid.
“Diana memang sudah tekad dan dia sebenarnya sudah bagi arahan sebelum ini untuk bertindak.
“Semalam dia bagi arahan untuk ‘proceed’ terus,” katanya lagi.
Ditanya mengenai faktor Diana memfailkan perceraian kali kedua, Akberdin berkata, mereka akan berkongsi perkara itu pada waktu yang tepat.
“Pada hari perceraian difailkan nanti, kami akan beritahu, sekarang ini agak sukar nak kongsi.
“Arahan nak failkan memang sudah ‘confirm’. Jadi, kami akan kongsikan yang lain kemudian,” ujarnya.
Semalam, Diana mengejutkan ramai apabila mengumumkan nekad untuk berpisah dan bakal memfailkan perceraian terhadap Farid buat kali kedua.
Dia juga enggan lagi dipujuk malah berkata, janji yang ditabur Farid sebelum ini tidak tertunai.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson pernah memfailkan permohonan cerai di mahkamah yang sama iaitu Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun, kembali rujuk sebulan kemudian.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang berusia sembilan tahun. – KOSMO! ONLINE