GENTING HIGHLANDS – Ketika industri hiburan kecoh dengan kisah cerai-berai, pelakon popular Datuk Rosyam Nor percaya perceraian bukan sesuatu yang diharapkan mana-mana pasangan suami isteri sebaliknya ujian dari Allah.
Rosyam atau nama penuhnya Mohamed Noor Shamsuddin, 57, bertegas perceraian juga tidak semestinya membawa kepada kesedihan sebaliknya mampu memberi rasa bahagia kepada yang melaluinya.
“Bagi saya sesetengah perceraian tidak semestinya memberi bencana tetapi ada juga yang membawa kepada kebahagiaan.
“Sebab bercerai ini bukan urusan kita. Ini urusan Tuhan dan siapa kita nak cakap dan tentukan mengenai perkara ini,” katanya kepada Kosmo! Online di lokasi penggambaran Susuk Bidadari di sini, semalam.
Tambah Rosyam, setiap perceraian yang berlaku ketika ini boleh dianggap sebagai dugaan dan dijadikan iktibar buat pihak lain.
Dalam masa sama, dia juga mengakui bahawa diselubungi perasaan takut apabila berbicara perihal perceraian kerana khuatir perkara tersebut berlaku kepada diri sendiri.
“Ketika ini, Tuhan nak duga seluruh Malaysia dengan kisah artis bercerai. Jodoh pertemuan kita semua adalah ketentuan Tuhan.
“Saya pun takut sekiranya usia sebegini diuji. Saya dan isteri sudah berkahwin dan bina keluarga selama 38 tahun. Bahkan kami sudah ada cucu,” jelasnya.
Berkahwin pada usia muda ketika namanya belum popular, perkongsian hidup Rosyam bersama Runika Mohd Yusof sejak 1989 diberkati dengan kehadiran lima orang anak perempuan.
Terdahulu, berbaki dua bulan sebelum beralih ke 2025, tahun 2024 menjadi satu tempoh ketara menyaksikan isu berantai perceraian ramai selebriti tanah air sama sama ada yang mengejutkan dan rentetan pelbagai kontroversi.
Terbaharu, penyanyi Kaka Azraff dilaporkan sah bercerai dengan suaminya iaitu Adam Azriff di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, semalam.
Semalam juga, aktres Diana Danielle kembali dengan keputusan mengejutkan apabila menyuarakan hasrat mahu bercerai buat kali kedua dengan suaminya, Farid Kamil. – KOSMO! ONLINE