PETALING JAYA – Bina Puri Holdings Bhd (Bina Puri) melalui anak syarikatnya, Sumbangan Lagenda Sdn Bhd telah berjaya menyelesaikan pengeluaran (drawdown) kemudahan kredit bernilai RM73 juta daripada MBSB Bhd (MBSB).
Sumbangan Lagenda merupakan pengendali The Main Place Mall @ USJ 21, sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan syarikat, kemudahan kredit daripada MBSB secara signifikan akan mengukuhkan kedudukan kewangan Sumbangan Lagenda.
“Ia akan membolehkan syarikat memenuhi keperluan modal kerja, tetapi juga meningkatkan tawaran, menarik penyewa baharu ke pusat membeli-belah dan memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih baik,” jelasnya di sini hari ini.
Kenyataan itu menerangkan, The Main Place Mall adalah sebuah kompleks membeli-belah berorientasikan keluarga dan sebahagian daripadanya terdiri daripada pembangunan campuran yang menggabungkan komponen kediaman, rekreasi, runcit, makanan dan minuman.
Pusat beli-belah empat tingkat ini terletak secara strategik dalam salah satu kawasan kejiranan paling padat di Lembah Klang.
Pembangunan The Main Place pada asalnya merupakan sebuah hartanah lama dan usang yang terbengkalai selama kira-kira 16 tahun.
Bina Puri, melalui Sumbangan Lagenda, berjaya menghidupkan semula bangunan tersebut melalui projek pembangunan semula yang berani dan siap pada 2014.
Sejak itu, The Main Place Mall telah mencapai kadar penyewaan lebih daripada 90 peratus. -KOSMO! ONLINE