SUNGAI PETANI – Semua pihak diminta memberi ruang kepada polis untuk menyiasat insiden bendera negara China dikibar semasa Sambutan Guan Gong Sedunia di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak pada Khamis lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada kebijaksanaan dan kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya percaya PDRM berpegang kepada peraturan dan undang-undang yang ada,” katanya selepas Majlis Pertauliahan Program Persijilan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) (PPA) kali ketiga 2024 di Pusat Latihan AADK, di sini hari ini.
Sementara itu, Shamsul berkata, seramai 475 pegawai AADK telah menerima ijil Perakuan Amalan bagi Program Persijilan AADK selepas berjaya mencapai tahap kompetensi menerusi tiga program dijalankan.
“Tiga program tersebut ialah Sijil Amalan Pendidikan Pencegahan (CPE), Sijil Amalan Rawatan dan Pemulihan (CPP) serta Sijil Amalan Penguatkuasaan (CEP).
“AADK menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga turut mengambil peluang mentauliahkan seramai 44 pegawai yang berjaya mendapat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam bidang Penyelarasan Sosial Tahap 4 diperakui Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE