fbpx

Bekas siswa UTeM dipenjara 30 tahun, 12 sebatan edar kokain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ngoforo ketika dibawa selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Perbuatan bekas siswa antarabangsa program sarjana sebuah universiti awam (UA) mengedar dadah jenis kokain seberat 149.4 gram (g) mendapat balasan setimpal apabila dipenjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar memutuskan demikian selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh, Ngoforo Ebube Gospel, 45, yang merupakan warga Nigeria di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 25 Oktober 2019.

Latifah dalam alasan penghakimannya memaklumkan beg berisi dadah itu diserahkan kepada tertuduh untuk dijaga disebabkan individu lain hendak ke lapangan terbang menimbulkan tanda tanya.

Tegasnya, ini berikutan beg tersebut bukannya besar dan hanya beg galas yang mudah dibawa individu tersebut.

“Apa yang jelas dalam rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), orang berbaju putih (individu lain) itu telah datang ke arah kereta dipandu tertuduh untuk letakkan beg berisi dadah di tempat penumpang hadapan bersebelahan tertuduh.

“Ia menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai kawalan dan jagaan terhadap beg tersebut,” katanya.

Beliau menegaskan, berdasarkan CCTV juga jelas bahawa terdapatnya kepercayaan antara tertuduh dengan individu tersebut.

“Malah penyerahan beg berisi dadah itu hanya berlaku dalam 16 saat sahaja. Justeru, pembelaan tertuduh hanya bersifat penafiaan semata-mata.

“Dadah itu telah dijumpai bersama tertuduh semasa serbuan dibuat.
Lagipun, dengan berat keseluruhan dadah jenis kokain 149. 4g adalah tidak munasabah untuk kegunaan sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, Ngoforo dalam mitigasinya merayu berulang kali diberikan peluang kedua selain menyatakan dirinya bukan pengedar dadah dan tidak pernah melihat bahan terlarang itu.

“Tolong.. tolong beri saya peluang kedua. Saya mahu jumpa keluarga, anak, ibu dan ayah. Tolonglah hakim,” rayunya.

Peguam Afifuddin Ahmad Hafifi pula menjelaskan bahawa anak guamnya itu datang ke negara ini bagi menyambung pengajian peringkat Sarjana di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

“Ini adalah kesalahan pertamanya dan anak guam saya mempunyai penyakit ulser perut.

“Sebelum ditangkap, tertuduh akan melangsungkan perkahwinan selain mempunyai anak berusia lima tahun yang kini dijaga bapa tertuduh berusia 75 tahun,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Heikal Ismail menegaskan kokain adalah jenis dadah yang mahal dan hukuman gantung adalah satu-satunya hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh.

“Tertuduh juga telah didapati bersalah dan mahkamah tidak perlu bersimpati,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Ngoforo bersama-sama telah mengedar dadah jenis kokain seberat 149.4 g di hadapan sebuah premis di Kelana Jaya kira-kira pukul 1.50 petang pada 25 Oktober lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Untuk rekod, seorang lagi lelaki warga Nigeria yang dituduh bersama
Ngoforo telah dilepas dan dibebaskan ekoran tiada prima facie di akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan bermula Jun tahun lalu telah melibatkan lima orang saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI