BANGKOK – Seorang wanita di wilayah Nakhon Phanom membelanjakan wang 20,000 baht (RM2,600) untuk mengupah beberapa pekerja bagi membantu mencari cincin berliannya yang hilang di sebuah tapak pelupusan sampah, lapor laman berita Thaiger semalam.
Berdasarkan hantaran di laman TikTok, wanita bernama Apitchaya Ning berkata, dia menanggalkan cincin berharga kira-kira 400,000 baht (RM52,000) itu untuk mencuci tangan di rumahnya, baru-baru ini.
Tanpa disedari, cincin itu terjatuh ke dalam tong sampah sebelum ia dibuang dan dibawa pula ke tapak pelupusan sampah.
Selepas menyedari kehilangan barang kemas itu, Apitchaya mengupah beberapa pekerja untuk membantunya mencari cincin tersebut di tapak seluas kira-kira 28 hektar.
Selepas 30 jam, mereka akhirnya menemui cincin berlian tersebut dalam keadaan baik.
Hantaran itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.
“Bagaimana anda berjaya menemuinya selepas 30 jam?” tanya seorang netizen.
“Ia amat cantik. Berbaloi untuk setiap minit pencarian,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI