PETALING JAYA — Sedar diri penuh kekhilafan, pelawak Shuib memohon maaf daripada orang ramai sebelum berangkat mengerjakan umrah ke Mekah bersama anak dan isteri, malam tadi.
Ujar Shuib atau nama sebenarnya Shamira Muhamad, 40, berkata, dia hanya manusia biasa yang penuh dengan dosa.
“Salam semua, saya mohon maaf kepada semua jika ada kekhilafan sepanjang perkenalan kita.
“Saya hanya manusia biasa yang tak terlepas dari dosa,” katanya menerusi hantaran video dalam Instagram ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam hantaran sama, bapa kepada empat orang cahaya mata itu turut meminta orang ramai mendoakan agar segala urusan mengerjakan umrah dipermudahkan dan diredai Allah.
“Doakan perjalanan umrah kami sekeluarga dipermudahkan dan dikurniakan umrah yang mabrur.
“Semoga kalian juga dipermudahkan urusan dunia dan akhirat,” pintanya.
Semakan menerusi ruangan komen, selain menitipkan doa, rata-rata netizen juga berharap agar Shuib terus istiqamah dan sedikit sebanyak berubah ke arah yang lebih baik sejurus pulang mengerjakan umrah kelak.
“Semoga semuanya berjalan lancar, harapnya dapat umrah yang mabrur, balik nanti harap perangai tidak semenggah dicampak jauh-jauh,” komen seorang netizen.
“Pergi sana muhasabah diri, cuci hati moga tak terbit idea konten pelik-pelik yang boleh mengundang amarah orang ramai. Selamat mengerjakan umrah Shuib dan keluarga,” demikian komen pengguna media sosial.
Terdahulu, Shuib dihambur kecaman teruk netizen yang mempertikai tindakannya menjemput Abah Hayat yang sebelum ini terlibat dalam kes bunuh kerat lapan sebagai tetamu jemputan podcast.
Menurut segelintir netizen, Shuib disifatkan tidak menghormati sensitiviti pihak yang terlibat selepas menjemput individu tersebut. – KOSMO! ONLINE