PUTRAJAYA- Sidang Kemuncak ASEAN yang akan diadakan di Malaysia pada tahun depan bakal menyaksikan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam skala besar.
Perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas menyertai Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 2 di sini malam ini.
“Insya-Allah, saya sudah memutuskan agar kereta rasmi bagi semua pemimpin negara serantau yang hadir persidangan itu hanya akan menggunakan EV,” katanya.
Terdahulu, beliau ketika mempengerusikan sesi diskusi berkenaan memberikan bayangan awal bahawa kerajaan bakal memanfaatkan penggunaan kenderaan itu pada setiap acara.
Buat permulaan ujarnya, EV dijangka dapat dioptimumkan ketika Sidang Kemuncak ASEAN di negara ini yang akan menjadi pengerusi blok serantau tersebut sepanjang tahun depan.
“Mungkin daripada semua (jenis) kereta dan (bilangannya) sebanyak mungkin,” katanya.