SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Pengangkutan (MOT) dan syarikat berkaitan logistik berpangkalan di negara ini memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan kemahiran berkaitan melalui pusat kecemerlangan dan latihan.
Beliau berkata, usaha ini perlu susulan sektor logistik negara yang merekodkan peningkatan ketara serta minat pelabur besar yang meyakinkan akhir-akhir ini.
Beliau berkata, tahap kepesatan perubahan ekosistem logistik bergerak terlalu cepat dan Malaysia akan ketinggalan jika tidak disusuli dengan perkembangan kemahiran.
“Atas sebab itu saya mahu kementerian (MOT) dan rakan-rakan beri tumpuan lebih dalam bidang ini (logistik) kerana tahap kepesatan perubahan terlalu cepat.
“Dan kalau umpamanya jentera kita lembab kita akan ketinggalan. Sebab itu saya juga menekankan pengurusan kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) harus melakukan perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian DHL Express Kuala Lumpur Gateway, di Kompleks Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE