fbpx

‘Saya tak kisah gambar kecil atau besar asalkan orang nampak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salma enggan campur tentang isu penarikan diri Stacy daripada konsert A Night With Sumandak Stars.

SHAH ALAM – Selepas Azharina Azhar dan Ayu Damit, penyanyi Salma Asis diumumkan sebagai sumandak kesembilan yang akan menyertai konsert A Night With Sumandak Stars.

Biarpun pengajuran konsert tersebut terpalit dengan kontroversi gara-gara pengunduran Stacy, namun Salma, 34, tetap berlapang dada menerima tawaran pengajur iaitu Orange International Entertainment.

“Saya tidak fikir pun mengenai kontroversi kerana saya hendak bekerja dengan orang yang boleh kerja. Saya seorang yang profesional.

“Paling penting orang bayar kita untuk membuat persembahan. Mereka bayar jadi kita buat saja kerja kita. Perkara yang lain itu saya tidak mahu komen,” katanya yang ditemui pada konsert minggu kedua Famili Duo musim keempat (FD4) semalam.

Salma yang bergandingan dengan Ayie Elham di pentas FD4 itu turut bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenai saiz gambar wajah dirinya dalam poster promosi.

Malah, tidak mengambil tahu tentang punca penarikan diri rakan senegerinya iaitu Stacy daripada menyertai konsert itu.

“Saya dapat tawaran ini selepas Stacy tarik diri, tetapi saya sebenarnya tidak melihat sangat tentang apa yang berlaku. Apabila mendapat tawaran barulah saya lihat berita itu.

“Saya tidak mahu cakap banyak kerana apa yang kontroversi itu biarlah mereka. Saya tidak mahu turut campur.

“Bagi saya mana rezeki yang datang saya ambil sahaja asalkan bersesuaian dengan jadual kerja. Lagi pun tidak kisah sama ada kecil atau besar yang penting kalian nampak juga saya ada di situ (dalam poster),” katanya.

Sebelum ini Stacy mengumumkan menarik diri daripada terlibat dengan konsert A Night With Sumandak Stars kerana pihak penganjur dikatakan tidak dapat memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, rekaan poster konsert juga yang meletakkan wajah penyanyi Bella Astillah di bahagian tengah dan lebih menyerlah berbanding penyanyi lain turut dikatakan punca Stacy mengundurkan diri.

Konsert A Night With Sumandak Stars akan berlangsung pada 30 November depan di Zepp Kuala Lumpur menampilkan barisan penyanyi kelahiran Sabah iaitu Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Wany Kayrie, Bella dan Didi Astillah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI