TAPAH – Kerajaan Negeri Perak menghargai jasa anggota badan beruniform negara termasuk yang telah berpencen dengan menyediakan 596 unit rumah teres setingkat serba moden di Taman Perwira Jaya di sini dengan harga mampu milik bermula RM149,000 hingga RM160,000.
Berkeluasan 1,000 kaki persegi, rumah teres setingkat itu lengkap dengan ruang tamu, tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang makan dan dapur.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, 64 peratus kediaman tersebut khusus untuk penjawat awam beruniform yang bukan terhad kepada tentera dan polis semata-mata, tetapi bomba dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Sementara itu, 36 peratus lagi kepada bekas anggota dan penjawat awam. Projek ini adalah inisiatif kedua daripada tiga projek khas untuk anggota perwira yang diselaras oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).
“LPHP bekerjasama dengan Lagenda Properties Berhad dalam membangunkan Projek Taman Perwira Jaya di Daerah Batang Padang. Pembangunan ini melibatkan kawasan seluas 50 ekar dengan kos berjumlah RM93 juta,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Program Khas Perumahan Perwira dan Program Baiti Jannati di Taman Perwira Jaya, Batang Padang di sini hari ini.
Kataya lagi, fasa kedua projek itu akan melibatkan pembinaan unit-unit kedai untuk menyokong komuniti setempat.
“Inisiatif ini bertujuan membantu anggota badan beruniform memiliki kediaman yang selesa dan mampu milik sebagai penghargaan atas jasa mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE