fbpx

Laila aktif main futsal biarpun dilarang doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Laila (kiri) aktif bermain futsal mewakili UniKL Mestech.

Gadis berusia 21 tahun itu jelas mempunyai aura ketabahan dan kecekalan diri tatkala pertama kali berbual dengannya.

Anak sulung daripada dua beradik itu kini sedang melanjutkan pengajiannya di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Mestech dalam jurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Pertama kali menjejakkan kaki di UniKL Mestech, ada juga terdetik perasaan yang tidak menentu, bercampur-baur antara kegembiraan menyambung pengajian dan kegusaran jika gagal memenuhi harapan ibu bapa.

“Namun saya percaya, berkat doa mereka jugalah yang menjadikan saya semakin kuat menempuh kehidupan baharu di tengah kota raya ini, biarpun terpaksa berpisah dengan mereka,” ujar Laila Wardina Jefri.

Selain menumpukan perhatian kepada bidang akademik, gadis berasal dari Kajang, Selangor itu juga banyak menghabiskan masanya dengan aktiviti sukarelawan, sama ada program anjuran universiti atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Minat saya terhadap kerja sukarelawan sebenarnya bermula sejak kecil lagi.

“Semasa di bangku sekolah, saya telah terdidik untuk meluangkan masa berbakti kepada masyarakat.

“Seiring dengan peredaran masa, saya akui minat ini semakin berkembang dan mendorong saya untuk mengambil peranan lebih mencabar dalam sukarelawan,” katanya.

Menerusi penglibatan aktif dengan kerja sukarelawan dalam Team Selangor iaitu sebuah inisiatif di bawah Sekretariat Kesedaran Kenegaraan dan Kesukarelaan Negeri Selangor, gadis yang mesra disapa Laila itu telah dilantik sebagai Ketua Zon.

Pelantikan itu telah membuka ruang kepadanya untuk meneroka dan mengasah bakat kepimpinan yang ada di dalam diri.

“Diberi tanggungjawab yang agak berat, terutamanya dalam beri contoh dan sifat kepemimpinan yang baik kepada sukarelawan di bawah seliaan saya.

“Namun, saya yakin jawatan ini akan melatih saya untuk menggalas peranan lebih besar pada masa akan datang,” kata bekas pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Jaya itu.

Pencapaian Laila tidak hanya terhad kepada kerja-kerja sukarelawan sahaja.

Di universiti, dia memikul pelbagai tanggungjawab lain termasuk jawatan-jawatan penting di peringkat kelab sehinggalah mewakili UniKL Mestech dalam acara futsal.

“Tiada siapa yang memaksa saya untuk menghabiskan masa melakukan semua aktiviti ini.

“Semua saya lakukan demi memenuhi perasaan diri yang sentiasa membara,” katanya.

Laila Wardina melakukan aktiviti sukarelawan bersama Team Selangor.

Menariknya, doktor pernah melarang Laila daripada aktif bersukan disebabkan masalah penglihatan yang dihadapinya.

“Saya akui, terdapat risiko jika saya aktif bersukan sebegini. Jadi, saya akan sentiasa memastikan tahap risiko itu dapat dikurangkan seminimum mungkin.

“Melalui sukan, saya boleh menguji tahap kemampuan diri dan membuktikan bahawa saya mampu mengetepikan apa juga kekurangan yang ada pada diri ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai cita-citanya, Laila yang sedang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) menjelaskan, dirinya ingin berjaya sebagai seorang pegawai OSH yang memastikan persekitaran kerja lebih selamat.

“Berbekalkan keinginan untuk menyumbang kepada masyarakat sejak kecil, ditambah dengan kemahiran teknikal yang ditimba di UniKL, saya mampu memperoleh ‘Green Book’ dalam tempoh lima tahun.

“Pensijilan ini akan mengiktiraf saya sebagai seorang profesional keselamatan bertauliah dan mendekatkan saya dengan impian untuk memastikan keselamatan semua ketika bertugas,” jelasnya.

Satu lagi sikap Laila yang jelas kelihatan daripada butir perbualan bersamanya adalah kecekapan merebut peluang.

“Saya memang tidak takut mengambil risiko, terutamanya jika keputusan yang dibuat mampu menjadikan diri saya lebih kuat.

“Saya percaya, setiap peluang yang datang itu tidak akan hadir sekali lagi dalam bentuk serupa,” jelasnya.

Falsafah itu terbukti dalam pelbagai peranan kepimpinan yang disandangnya seperti menjadi fasilitator program MyCatalyz di bawah Team Selangor sehinggalah sebagai pengarah pelbagai program di universiti.

Seperkara yang membezakan Laila dengan rakan seusianya adalah semangat optimis dan sifat peramah dimilikinya.

“Saya sentiasa berusaha untuk memudahkan proses komunikasi dalam apa jua keadaan, baik di dewan kuliah mahupun di lapangan, walaupun dengan hanya melemparkan senyuman.

“Saya percaya, apabila kita mula berkomunikasi dan bercerita mengenai kisah hidup, ia akan membina sebuah hubungan.

“Percayalah, hubungan baik antara dua individu sangat membantu kita meneruskan setiap cabaran hidup yang dihadapi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI