fbpx

Kutip minyak masak dari Pantai Barat sebelum seludup ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman (tengah) menunjukkan gambar lori membawa minyak masak yang dirampas selepas SHMMP Deepavali 2024 di sebuah pasar raya di Pasir Puteh hari ini. - Foto oleh TOREK SULONG / KOSMO!

PASIR PUTEH – Kebanyakan penyeludup minyak masak peket dipercayai memperoleh dan mengambil bekalan bahan mentah itu dari beberapa kilang di negeri-negeri Pantai Barat sebelum dibawa ke Kelantan untuk diseludup ke Thailand.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, modus operandi itu dikesan berdasarkan nombor pendaftaran lori yang sudah direkodkan dan terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak masak peket.

Menurutnya, taktik tersebut sudah lama dihidu oleh KPDN apabila kebanyakan bahagian muatan lori-lori yang membawa minyak masak peket dari negeri luar tertutup kedap semasa memasuki Kelantan.

“Kawalan ketat terhadap pembungkus, pengeluar dan pemborong minyak masak peket di negeri ini menyebabkan penyeludup mengambil minyak dari beberapa kilang di Pantai Barat.

“Meskipun kuantitinya tidak banyak, sindiket penyeludupan tetap berusaha mengumpulkan minyak masak peket dalam tempoh tertentu sebelum ia diseludup dan dijual pada harga yang lebih tinggi di Thailand,” katanya sidang akhbar selepas meninjau pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Azman berkata demikian ketika mengulas mengenai rampasan sebanyak 18,700 peket minyak masak subsidi bernilai RM46,750 yang ditinggalkan di dalam sebuah lori yang terbabas di kawasan pangkalan haram Ayam, Kampung Terusan, Rantau Panjang dekat sini semalam.

Beliau memberitahu, kegiatan itu dilakukan secara terancang dan sindiket terlibat dipercayai mempunyai rangkaian antara penyeludup yang menjadikan tebing sungai dan pangkalan haram sebagai transit terakhir. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI