fbpx

KPM tingkat intervensi galak pelajar minat STEM – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina (tengah) hadir pada Forum Jaringan Industri Ke Arah Kemampanan TVET KPM di Batu Kawan, hari ini. -Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk meningkatkan intervensi dengan pihak industri dan sekolah di negara ini bagi menarik minat pelajar dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang giat melaksanakan program yang berkaitan secara menyeluruh dengan penglibatan pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah termasuk teknik dan kolej vokasional.

Menurutnya, ini berikutan peratusan pelajar yang minat terhadap STEM masih belum mencapai sasaran 60 peratus yang ditetapkan kerajaan.

“Jadi sebab itu intervensi sedang kita laksanakan di bawah agenda reformasi pendidikan dan memberikan tumpuan kepada segmen-segmen tersebut (STEM).

“Ini bagi memastikan peningkatan berlaku dengan lebih baik lagi khususnya dalam konteks STEM dan anak-anak kita mesti juga dibantu oleh kaunselor-kaunselor terlatih untuk memastikan bahawa mereka mendapat sokongan sepenuhnya ketika memilih jurusan STEM itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Forum Jaringan Industri Ke Arah Kemampanan TVET KPM di Batu Kawan di sini, hari ini.

Program tersebut dianjurkan bersama Bahagian Pendidikan Dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) Dan Malaysia Semiconductor industry Association (MSIA).

Terdahulu, Fadhlina memaklumkan yang Pulau Pinang hanya mencapai 52 peratus pelajar yang memilih STEM meskipun negeri ini dikenali sebagai hub bagi industri teknologi tinggi serta ekosistem kukuh bagi membangunkan bidang tersebut.

Sebelum ini, KPM menetapkan sasaran untuk mencapai nisbah 60:40 pelajar sains berbanding sastera atau sains sosial pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, KPM sedang berusaha memperluaskan rakan-rakan sinergi bagi mengukuhkan lagi Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini dengan penglibatan semua pihak industri.

“Program ini supaya memberikan pengalaman upskilling, reskilling kepada guru-guru kita. Ada panel menyentuh tentang keperluan guru-guru kita menguasai ilmu-ilmu di peringkat industri.

“Kemahiran-kemahiran industri ini supaya mereka seiring dan dapat menyampaikan pengajaran itu dengan lebih baik dalam persiapan dan persediaan untuk anak-anak murid,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI