fbpx

Kos projek LRT3 RM21.93 bilion masih rendah banding 2015

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rupa bentuk tren LRT3 yang akan menghubungkan Johan Setia dan Bandar Utama.

KUALA LUMPUR – Kos terkini projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) sebanyak RM21.93 bilion masih rendah berbanding kos asal yang diluluskan oleh kerajaan pada tahun 2015.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah menerangkan, kos asal projek LRT3 yang diluluskan pada 2015 adalah sebanyak RM31.65 bilion.

Bagaimanapun, katanya, pada 2018 kos tersebut dikurangkan kepada RM16.63 bilion melalui pengurangan skop projek selaras dengan langkah penjimatan oleh kerajaan.

“Penambahan RM5.3 bilion bagi skop ‘reinstatement” menjadikan kos keseluruhan projek LRT3 adalah sebanyak RM21.93 bilion.

“Jika dibandingkan dengan kos asal projek LRT3, jumlah kos terkini adalah masih rendah dengan penjimatan sebanyak RM9.72 bilion. Sumber pembiayaan bagi skop ‘reinstatement’ sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) status terkini penerusan projek lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini.

Terdahulu, Hasbi berkata, pembinaan lima stesen di bawah projek LRT3 iaitu Stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik ditangguhkan pada tahun 2018 susulan langkah penjimatan.

Menurut beliau, pelaksanaan projek ini akan diteruskan bagi skop ‘reinstatement’ lima stesen tersebut tertakluk kepada kelulusan projek dan penyaluran dana daripada Kementerian Kewangan atau Kementerian Ekonomi.

Kata beliau, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang memuktamadkan butiran teknikal dan kewangan Perjanjian Kontrak Tambahan.

“Skop kerja ‘reinstatement’ melibatkan skop reka bentuk dijangka akan bermula pada suku pertama 2025, manakala kerja-kerja fizikal dijangka akan bermula pada suku keempat 2025 bagi tempoh sua tahun.

“Pembinaan lima stesen ini dijangka siap pada suku keempat tahun 2027 dan dijangka akan beroperasi bermula suku kedua tahun 2028,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI