fbpx

Anggur shine muscat Thai ada racun perosak berlebihan akan disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggur Shine Musca

PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum berhubung laporan The Thai Pesticide Alert Network (Thai-PAN) berkaitan anggur Shine Muscat yang mengandungi residu racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan (MRL).

KKM berkata, pihaknya melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan termasuk makanan import berdasarkan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

Katanya, di Malaysia, residu racun perosak dikawal di bawah Peraturan 41, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang turut merujuk kepada standard antarabangsa Codex.

“Berdasarkan data KKM, sepanjang tempoh 2020 sehingga September 2024, sejumlah 5561 sampel sayur-sayuran dan buah-buahan import telah dianalisis bagi residu racun perosak dan sejumlah 165 (2.97 peratus) sampel telah didapati tidak mematuhi MRL.

“PKKM telah mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas sayur-sayuran dan buah-buahan import yang tidak mematuhi MRL termasuk arahan penarikan balik produk di seluruh negara, pelupusan, re-eksport atau pendakwaan kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Jelas KKM, bagi buah anggur pula, sejumlah 234 sampel anggur telah dianalisa dalam tempoh tersebut di mana 4 (1.71 peratus) telah dikesan tidak mematuhi MRL.

Katanya, ia tidak melibatkan anggur Shine Muscat.

“Tindakan pemeriksaan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) pada kemasukan seterusnya dikenakan, di mana konsainan makanan tersebut wajib ditahan dan pensampelan perlu dijalankan.

“Dalam hal ini, kelulusan pelepasan di pintu masuk hanya akan diberikan sekiranya keputusan analisa mematuhi MRL yang ditetapkan.

“Larangan pengimportan akan dikenakan sekiranya terdapat pelanggaran yang berulang,” katanya.

Sebagai panduan kepada pengguna, setiap makanan yang diimport dan berbungkus, perlu mengandungi maklumat asas termasuk negara asal produk tersebut.

Sehubungan dengan itu, pengguna dinasihatkan untuk membaca label sebagai panduan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI