fbpx

Kesihatan baik elemen istito’ah ibadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bakal jemaah haji perlu bersedia membuat senaman ringan secara berfasa untuk menjaga tahap kesihatan yang baik. – Gambar hiasan

IBADAH haji merupakan salah satu daripada Rukun Islam kelima yang mana ia boleh diterjemahkan sebagai mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah bagi mengerjakan ibadah tertentu menurut syarat ditetapkan.

Hukum menunaikan ibadah haji juga adalah wajib sekali seumur hidup bagi individu layak selain berkemampuan mengikut syarat ditetapkan.

Kemampuan menunaikan haji atau istito’ah mempunyai pengertian luas yang merujuk kepada kemampuan mengerjakan haji daripada pelbagai perspektif termasuk kewangan, bekalan, ken­deraan dan perjalanan yang aman.

Selain daripada kemampuan di atas, elemen istito’ah menunaikan haji juga merujuk kepada beberapa faktor penting lain iaitu mahram, kesihatan, kuota atau kebenaran haji daripada kerajaan Arab Saudi dan keselamatan.

Dalam konteks ini, kesihatan yang baik juga merujuk kepada elemen istito’ah dalam mengerjakan haji memandangkan ibadah itu bukan sahaja mengenai konsep ‘kesihatan rohani’ semata-mata, namun turut melibatkan kesihatan fizikal seseorang.

Menurut pakar kecergasan dan kesihatan, Mohd. Arif Afifi Mohamad Sukri, terdapat ba­nyak faktor yang memerlukan seseorang berada dalam keadaan sihat sebelum mengerjakan ibadah haji termasuk perlu menempuh jarak perjalanan jauh.

Mohd. Arif

“Dalam hal ini, ibadah haji bukan berkait soal rohani semata-mata, tetapi ia juga melibatkan banyak aktiviti fizikal yang memerlukan bakal jemaah berada dalam keadaan sihat dan kesihatan baik.

“Jika dilihat, ibadah seperti tawaf, saie dan melontar jamrah memerlukan kekuatan fizikal dan stamina, lebih-lebih lagi dalam keadaan jutaan umat Islam yang berkumpul di situ.

“Jadi, tanpa kesihatan yang baik, jemaah akan kelelahan dan ia bakal menyukarkan mereka untuk fokus dan khusyuk dalam ibadah haji,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Arif Afifi berkata, istito’ah dalam aspek kesihatan juga membantu jemaah segera menyesuaikan diri dengan cuaca ekstrem dan perjalanan panjang, seterusnya tidak akan membebankan petugas serta kumpulan lain.

Berdasarkan pengalaman sebagai mutawif umrah, katanya, jemaah mempunyai tahap kesihatan baik berpeluang melakukan banyak ibadah dan aktiviti ziarah lain secara konsisten.

“Bagaimanapun, jemaah yang tidak sihat mungkin memerlukan bantuan dan perhatian yang le­bih, sekali gus memberi bebanan baharu kepada rakan jemaah yang mana mereka juga ingin melaksanakan ibadah secara terbaik.

“Selain itu, istito’ah dalam kesihatan juga membolehkan jemaah lebih khusyuk dan selesa untuk beribadah seperti dapat melaksanakan tawaf sunat setiap hari,” katanya.

Susulan itu, Mohd. Arif Afifi menasihatkan bakal jemaah pada musim depan untuk terus menjaga kesihatan dan meningkatkan kecergasan bagi membolehkan ibadah itu dilaksanakan dengan sempurna kelak.

Bakal jemaah perlu membuat perancangan rapi khususnya daripada aspek kesihatan untuk beribadat di Tanah Suci. – Gambar hiasan

“Antara persiapan melaksanakan ibadah haji yang boleh dibuat ialah latihan kardio seperti berjalan kaki, berjoging atau berenang bagi meningkatkan stamina.

“Bagi yang baru mahu mulakan latihan kardio, tidak perlu terus berlari, mereka boleh berjalan sahaja dalam tempoh 15 hingga 20 minit sehari untuk minggu pertama. Jumlahnya ditingkat apabila sudah mula terbiasa kelak,” jelasnya.

Katanya, latihan bebanan dan regangan juga merupakan antara aktiviti membantu bakal jemaah menyediakan otot lebih kuat serta sihat, seterusnya mencipta keselesaan untuk beribadah di Tanah Suci.

“Paling penting, setiap latihan dan aktiviti yang disarankan perlu dimulakan dengan sesi warm up sebelum diakhiri dengan cool down untuk melegakan otot-otot yang diberi tekanan.

“Pada masa sama, lakukan juga pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh sebelum berangkat dan pastikan mendapat rawatan awal serta membawa ubat diperlukan,” katanya.

Sementara itu, menurut bekas petugas haji pada tahun ini, Mohamad Hafiz Yusoff Bakri, konsep istito’ah dalam konteks kesihatan perlu diberi perhatian bakal jemaah sebagai persediaan menghadapi cabaran luar jangka ketika di Tanah Suci.

Mohd. Hafiz

Katanya, sepanjang menjadi petugas haji, antara masalah kesihatan sering dihadapi jemaah ialah batuk dan demam berikutan cuaca melampau yang mencecah 50 darjah Celsius.

“Jadi, istito’ah daripada segi kesihatan penting sebelum me­nunaikan haji. Di Malaysia cuaca sekitar 32 darjah Celsius, namun di Tanah Suci, ia mampu mence­cah 50 darjah Celsius.

“Sebagai contoh, jemaah haji terutamanya golongan warga emas yang jarang keluar negara juga ada yang terkejut dengan perubahan cuaca itu dan perlu berehat di bilik untuk rawatan,” katanya.

Lantaran itu, katanya, mana-mana individu yang mendapat panggilan haji pada tahun depan juga dinasihatkan membuat persiapan rapi dalam aspek kesihatan dan kecergasan bagi memastikan ibadah itu lancar.

“Mereka perlu bersedia daripada aspek kecergasan sebagai persediaan menghadapi cuaca melampau selain jangkaan untuk membuat banyak aktiviti fizikal seperti saie dan sebagainya,” jelasnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI