fbpx

Hamil anak pertama, Nabila Razali hanya mengidam burger Ramly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nabila Razali mendedahkan tidak mengalami sebarang alahan yang bukan-bukan sepanjang proses kehamilan yang memasuki trimester kedua.

PUTRAJAYA – Penyanyi dan pelakon Nabila Razali bersyukur tidak mengalami alahan atau mengidam perkara aneh sepanjang tempoh kehamilan anak pertamanya ketika ini.

Sudah memasuki trimester kedua, Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd. Razali, 32, berkata, sebagai wanita hamil, dia turut menanti waktu merasai momen mengidam perkara yang sering dilalui bakal ibu lain.

“Setakat ini saya tidak mengalami rasa mengidam yang pelik-pelik. Cuma itulah saya teringin nak makan burger Ramly dan kek. Tapi semuanya mengidam benda mudah lagi.

“Saya pun teringin juga nak mengidam perkara macam bau tayar ke, saya pun menanti perkara-perkara itu tetapi belum rasa lagi,” katanya kepada Kosmo! Online pada Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2024 di sini, baru-baru ini.

Pelantun lagu Pematah Hati itu berkata, keputusannya mengambil masa untuk mengumumkan berita kehamilan kepada umum adalah kerana mengikut pesanan golongan berusia.

Katanya, dia mengumumkan perkara tersebut selepas ramai pihak mula mempersoalkan perubahan pada bentuk badannya dan enggan peminat terus membuat spekulasi sendiri.

“Saya banyak mendengar petua orang tua, seelok-eloknya kita simpan berita kehamilan dulu sampai satu tempoh masa, sebelum umumkan kepada semua.

“Sebenarnya saya mahu mengambil masa untuk mengumumkan kehamilan ini tetapi disebabkan ramai yang sudah bertanya dan ada yang komen dalam media sosial, saya pun tidak mahu biarkan orang buat spekulasi sendiri.

“Saya rasa lebih baik begitu dan disebabkan itu saya umumkan kehamilan itu pada awal Oktober lalu. Itu pun sudah memasuki pengakhiran trimester kedua,” katanya lagi.

Ditanya persediaan menyambut kelahiran cahaya mata pertama itu, dia berkata masih belum sempat untuk membuat persiapan sepenuhnya.

“Jadual kerja saya masih padat, mungkin akan membeli keperluan bayi itu secara atas talian atau persiapan pada saat-saat akhir.

“Jujur saya cakap, tak banyak persediaan yang saya buat memandangkan masih lagi aktif bekerja. Cukuplah sekadar benda-benda yang penting dahulu.

“Saya pun nak juga ke luar negara untuk membeli-belah barangan bayi tetapi disebabkan masa tidak mengizinkan. Tak mengapalah boleh beli secara online juga, tak jadi masalah,” ujarnya.

Terdahulu, pada 4 Oktober lalu, Nabila mengumumkan sedang hamil anak sulung yang dijangka dilahirkan pada awal Januari depan.

Nabila dan usahawan Nik Iruwan Nik Izani berkahwin pada 18 November tahun lalu dalam sebuah majlis secara tertutup di The Chateau Spa & Wellness Resort, Pahang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI