fbpx

Dewan Rakyat: 57,276 penerbangan dibatalkan setakat Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 peratus atau 90,696 daripada 444,234 jumlah penerbangan berjadual dibatalkan tahun lalu, manakala bagi tahun ini sebanyak 18 peratus atau 57,276 daripada 315,388 penerbangan berjadual dibatalkan setakat Ogos.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata, bagi data Januari hingga Ogos 2024, sebanyak 24 peratus atau 61,014 daripada 258,116 penerbangan yang dioperasikan oleh syarikat-syarikat penerbangan Malaysia telah ditangguhkan.

Jelas beliau, sebanyak 55,024 daripada jumlah 61,014 penerbangan tersebut ditangguhkan kurang daripada dua jam dari waktu perlepasan dijadualkan dan baki selebihnya 5,990 penerbangan ditangguhkan melebihi dua jam.

“Antara punca kelewatan penerbangan adalah disebabkan oleh operasi syarikat penerbangan seperti penggiliran pesawat dan anak kapal serta keadaan luar biasa dan isu teknikal.

“Punca pembatalan penerbangan disebabkan komersial seperti muatan rendah, masalah operasi syarikat penerbangan seperti kekurangan anak kapal, ketibaan lewat pesawat, putaran pesawat, keadaan luar biasa seperti cuaca, kawalan trafik udara dan masalah teknikal seperti Aircraft On Ground (AOG),” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) sejauh manakah pengurangan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) mendatangkan kesan kepada pengguna.

Terdahulu, Hasbi memaklumkan, syarikat-syarikat penerbangan negara menyediakan perkhidmatan penerbangan domestik bagi laluan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 1.42 juta tempat duduk bagi bulan Oktober 2024.

Menurut beliau, Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah mengurangkan sebanyak 95,906 tempat duduk bermula Ogos sehingga Disember 2024, namun AirAsia, AirAsia X dan Batik Air telah menambah kapasiti sebanyak 139,578 tempat duduk bagi menampung kekurangan tersebut.

Berhubung kos tiket penerbangan, kata beliau, harga tiket akan meningkat pada musim cuti dan perayaan disebabkan permintaan melebihi kapasiti boleh disediakan oleh syarikat penerbangan.

Bagaimanapun, katanya Jemaah Menteri pada 13 Disember 2023 telah bersetuju untuk melaksanakan harga maksimum RM599 bagi tiket penerbangan sehala ekonomi dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Jelas beliau, tempoh pelaksanaan inisiatif itu adalah pada tiga hari perjalanan sebelum tarikh sambutan perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitiri, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Krismas 2024.

Tambah beliau, Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 3 September 2024 pula bersetuju supaya FLYsiswa serta inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sempena musim perayaan yang diluluskan di bawah inisiatif Belanjawan 2024 dijadikan inisiatif tahunan Kementerian Pengangkutan.

Sementara itu, Hasbi menjelaskan, jumlah keseluruhan pesawat yang dimiliki oleh syarikat-syarikat penerbangan di Malaysia cuma sebanyak 258 buah tidak mencukupi untuk menampung permintaan.

“Apatah lagi jika permasalahan, penyelenggaraan dan sebagainya memang akan menjejaskan sedikit `airlines’ kita, tetapi `airlines’ kita dalam proses menambah pesawat dan insya-Allah tidak akan berlaku lagi `overused’,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI