MADRID – Kealpaan benteng pertahanan Real Madrid dihukum dengan kekalahan pertama pertama musim ini selepas dibelasah 0-4 oleh Barcelona dalam saingan La Liga di Santiago Bernabeu awal pagi semalam.
Pada aksi El Clasico itu, Real memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun ketumpulan jentera serangan selain perangkap ofsaid yang dilakukan The Catalans berjaya menjerat tuan rumah.
Walaupun tewas, namun jurulatih Real, Carlo Ancelotti tetap tenang apabila menyifatkan kekalahan itu bukanlah pengakhiran buat pasukannya kerana menganggap saingan musim ini masih panjang.
“Keputusan ini tidak menggambarkan aksi sebenar perlawanan. Mereka mengambil kesempatan ketika kami beberapa kali gagal memanfaatkan peluang untuk mendahului perlawanan, ianya cukup sukar.
“Kami tidak perlu panik kerana Real pernah tewas 0-4 kepada mereka di sini, namun selepas itu kami berjaya memenangi La Liga dan Liga Juara-Juara (UCL). Oleh itu, jangan bimbang dengan kekalahan ini,” katanya.
Dalam pada itu, taktik perangkap ofsaid yang digunakan Barcelona membuahkan hasil apabila Real terjerat dengan strategi itu sebanyak lapan kali di separuh masa pertama dan penyerangnya, Kylian Mbappe turut tidak terkecuali.
“Memang sudah diketahui mereka menerapkan taktik bertahan pada garusan yang tinggi dan kami langsung tidak dapat mengambil kesempatan. Dia (Mbappe) ada banyak peluang, tetapi dikecewakan oleh taktik tersebut,” ujar Ancelotti.
Biarpun Real menampilkan aksi lebih baik di awal permainan, namun mereka terpaksa akur apabila Barcelona yang meledak empat gol menerusi dua jaringan Robert Lewandowski serta masing-masing satu gol Lamine Yamal dan Raphinha. – AGENSI