MADRID – Pengendali Barcelona, Hansi Flick mengakui pasukannya berjaya menggunakan keseluruhan taktikal yang dirancang ketika mendominasi perlawanan El Clasico menewaskan Real Madrid 4-0 di Santiago Bernebeu awal pagi semalam.
Kemenangan itu menyaksikan The Catalans berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Real dalam 42 perlawanan sebelum ini sekali gus melebarkan jurang kepada enam mata untuk menguasai puncak saingan La Liga.
“Kami baru memulakan perjalanan dan dia berjalan dengan baik. Kami kekal dengan perancangan dan sudah dapat melihat bagaimana pasukan ini harus beraksi. Kami perlu terus mengekalkannya.
“Suasana dalam pasukan cukup baik ketika ini dan mentaliti semua pemain cukup luar biasa. Kami akan meraikan kemenangan ini dan saya memberikan cuti selama dua hari. Namun, kami akan terus fokus untuk aksi seterusnya.
Robert Lewandowski meletakkan Barcelona selesa dengan dua gol pada babak pertama sebelum Lamine Yamal dan Raphinha turut mencetak nama sebagai penjaring pada perlawanan berkenaan.
Real berjaya menghasilkan dua gol menerusi Kylian Mbappe, namun kedua-duanya tidak disahkan kerana kesalahan ofsaid, manakala Barcelona berjaya memerangkap pemain Los Blancos sebanyak 12 kali gara-gara mereka bertahan di garisan yang tinggi.
“Robert berjaya mempamerkan kualiti di hadapan gol dan dia cukup hebat. Kemenangan ini adalah mengenai keseluruhan pasukan, mereka bertahan dengan baik dan menyerang dengan cukup sempurna.
“Kami membuat perubahan yang betul pada babak kedua dan tidak mengendurkan asakan. Itu membolehkan kami kekal menguasai perlawanan dan kami tidak boleh hilang fokus ketika menentang pasukan seperti Real.
“Setiap perlawanan dan pasukan lawan adalah berbeza dan kami perlu mencari cara yang sesuai. Kami semua bekerja untuk membantu pertahanan seperti yang kami biasa lakukan,” jelasnya.
Keputusan itu menyaksikan Barcelona meraih 10 kemenangan dalam 11 perlawanan La Liga dan hanya tewas sekali biarpun Flick berdepan isu kecederaan beberapa pemain tonggak pasukan itu. – AGENSI