fbpx

86,000 golongan suami sertai program i-Sayang KWSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Kira-kira 86,000 golongan suami di Malaysia telah menyertai program i-Sayang sejak ia dilancarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Mac 2023.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah peserta program i-Sayang itu melibatkan jumlah pindahan caruman sebanyak RM22.1 juta setakat Ogos lalu.

“Program i-Sayang membolehkan suami memperuntukkan dua peratus daripada caruman KWSP bulanan (syer pekerja) secara sukarela ke akaun KWSP isteri mereka,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) apakah langkah KWSP untuk meningkatkan semula simpanan ahli yang telah membuat pengeluaran melalui Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Terdahulu, Hui Ying berkata ahli KWSP boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa melalui Caruman Sukarela bagi menambah simpanan dengan had caruman tahunan RM100,000 bermula 1 Jun 2023.

Menurut beliau, seramai 872,000 ahli atau 10.2 peratus daripada ahli aktif telah membuat caruman sukarela setakat 31 Ogos 2024 dengan jumlah amaun caruman sebanyak RM9.39 bilion.

Kata beliau, KWSP turut membenarkan individu untuk berdaftar dan mencarum secara sukarela seawal usia 14 tahun bagi menggalakkan simpanan dan memanfaatkan gandaan dividen lebih awal.

“Walaupun mereka yang berusia di bawah 16 tahun biasanya tidak bekerja secara formal, mereka boleh membuat caruman sendiri atau caruman daripada pihak lain seperti ibu bapa ke dalam akaun KWSP,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan dalam Belanjawan 2025 telah mengumumkan penambahbaikan program i-Saraan dengan menaikkan insentif padanan daripada 15 kepada 20 peratus tertakluk kepada maksimum RM500 setahun dan had seumur hidup sebanyak RM5,000 bagi setiap individu

Kata beliau, kerajaan juga menyediakan kadar insentif padanan bagi program iSuri untuk ahli yang berdaftar di bawah program e-Kasih sebanyak 50 peratus daripada jumlah caruman tahunan dan turut dilanjutkan pada tahun 2025.

“Inisiatif ini tertakluk kepada had maksimum insentif padanan sebanyak RM300 setahun dan RM3,000 untuk seumur hidup,” katanya. – KOSMO!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI