MELAKA – Kira-kira 10 juta isi rumah di negara ini akan dinilai untuk pengelasan sebagai golongan berpendapatan tinggi atau T15, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Menurutnya, pengelasan itu akan dibuat berdasarkan tahap pendapatan boleh berbelanja bersih dengan perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) isi rumah di sesebuah lokaliti dan bukannya mengikut kepada pendapatan semata-mata.
“Ia tidak akan jadi satu garis untuk satu negara sebab perbelanjaan itu dia berbeza-beza kos sara hidup, berbeza-beza ikut kawasan.
“Mungkin di sesuatu kawasan kalau sudah lebih RM10,000 pendapatan isi rumah dan dilihat semua pendapatan boleh belanja bersih, itu memang sudah T10 tetapi kalau di Kuala Lumpur RM10,000 tidaklah, dia tidak masuk dalam T15,” katanya selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Banda Hilir di sini, hari ini.
Ujarnya, bagaimanapun jumlah 10 juta tersebut perlu melalui penilaian teliti berdasarkan pelbagai platform pangkalan data seperti Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, kerajaan belum memuktamadkan jumlah tangga pendapatan bagi mengklasifikasi rakyat T15 yang akan dikecualikan daripada beberapa subsidi kerajaan tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegas demikian bagi menafikan anggapan pihak yang mentakrifkan T15 yang akan dikecualikan daripada subsidi adalah isi rumah berpendapatan RM12,000 ke atas.
Mengulas lanjut Rafizi berkata, pihaknya akan membentangkan dapatan berhubung pengelasan T15 itu kepada Kabinet dalam tempoh sebulan.
“Beri kami dalam satu bulan ini untuk melalui segala proses dengan Kementerian Kewangan dengan tengok kepada data yang sedia ada, dalam PADU, data-data yang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE