IPOH – Polis tidak menerima sebarang notis pemakluman berhubung penganjuran Himpunan Kibarkan Jalur Gemilang yang diadakan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, berdasarkan kesalahan tersebut, kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 dan pihak terlibat akan dipanggil untuk dirakam percakapan.
Menurut Azizi, aduan berkaitan himpunan itu dibuat seorang pegawai rendah polis yang bertugas jaga aman di tapak pelancongan tersebut pada pukul 6 petang.
Katanya, terdapat antara 300 hingga 400 orang dilihat berkumpul di pekarangan Menara Condong itu di mana kelihatan seorang individu memberi ucapan tanpa pembesar suara di hadapan orang ramai.
“Perhimpunan ini diadakan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Teluk Intan sempena Himpunan Kibarkan Jalur Gemilang di Menara Condong.
“Hasil siasatan awal mendapati, individu yang memberi ucapan pada program berkenaan adalah Pesuruhjaya Pas Perak di mana himpunan itu turut dihadiri pimpinan Pas negeri dan kawasan serta penduduk setempat,” katanya.
Tambah beliau, pada program itu, kira-kira 200 Jalur Gemilang pelbagai saiz dikibarkan peserta dengan diiringi lagu patriotik. – KOSMO! ONLINE