KUALA LUMPUR – Kejohanan Ragbi Piala Agong 2024 semakin hampir ke kemuncak saingan apabila juara bertahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat perhitungan dengan Johor pada perlawanan akhir di Stadium UiTM, Shah Alam hari ini.
Biarpun turun sebagai pasukan pilihan, namun ketua jurulatih PDRM, K. Dineshwaran memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya tidak memandang rendah keupayaan dimiliki pasukan dari Selatan tanah air itu.
Sebaliknya, beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Dugro menggesa pemain-pemainnya supaya berwaspada dengan kemampuan Johor memandangkan mereka dibarisi ramai pemain berpengalaman.
“Berhubung pasukan Johor, bagi saya mereka adalah pasukan yang memiliki ramai pemain berpengalaman, jadi setiap peluang yang ada, mereka akan memanfaatkannya untuk melakukan serangan.
“Oleh itu, saya beri amaran kepada pemain-pemain PDRM supaya jangan berikan banyak peluang kepada mereka dari segi penalti, serangan mahupun pertahanan. Jadi, itu antara perancangan saya nanti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga enggan mendedahkan perancangan dan strategi PDRM menjelang aksi final nanti kerana hanya mahu menunjukkan kekuatan pasukan itu sebaik sahaja perlawanan berlangsung.
Sebagai rekod, PDRM menampilkan aksi cukup baik pada saingan kali ini yang sudah memasuki edisi ke-40 apabila menang kesemua enam perlawanan terdahulu, begitu juga Johor yang memenangi kelima-lima aksi sebelum ini.
Sementara itu, ketua jurulatih Johor, Abdul Hanis Mokhta menjelaskan, pasukannya sudah ada percaturan tersendiri bagi menghalang hasrat PDRM untuk meraih kejuaraan kedua berturut-turut.
“Saya tahu PDRM adalah pasukan yang paling kuat dan merupakan juara bertahan. Mereka memiliki kekuatan cukup seimbang dari segi serangan dan pertahanan selain diperkuatkan pemain import berkualiti.
“Kami sudah ada perancangan yang baik bagaimana untuk lawan mereka. Sudah pasti kami akan memperbaiki setiap bahagian, terutamanya serangan dan pertahanan selain memperkemaskan struktur permainan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE