SHAH ALAM – Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuktikan mereka adalah gergasi ragbi tanah air apabila mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Ragbi Piala Agong 2024 menewaskan Johor.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam sebentar tadi, skuad Sang Saka Biru itu memastikan gelaran kedua berturut-turut selepas mencatat kemenangan selesa 43-29.
Pada awal separuh masa pertama, kedua-dua pasukan menampilkan aksi cukup seimbang, namun Johor dilihat lebih banyak mengasak kubu PDRM dan berjaya mendahului permainan 14-7 buat beberapa ketika.
PDRM bagaimanapun kembali memperkemaskan permainan dan berjaya melakukan try serta conversion bagi menyamakan kedudukan sebelum mendahului 19-17 dan menamatkan aksi separuh masa pertama selaku peneraju perlawanan.
Memasuki separuh masa kedua, PDRM yang dikendalikan bekas pemain negara, K. Dineshwaran tidak menoleh ke belakang lagi apabila melakukan asakan bertali arus ke arah kubu Johor sebelum melengkapkan kemenangan berharga.
“Sudah tentu saya rasa sangat gembira dengan kemenangan kerana ini adalah kali pertama saya menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih. Sangat bangga dan terima kasih kepada PDRM kerana beri peluang kepada saya.
“Secara jujur, perlawanan hari ini lebih mudah jika dibandingkan dengan aksi separuh akhir menentang Terengganu. Pemain-pemain Johor dilihat sudah kecewa ketika hujung permainan dan kami manfaatkannya,” kata Dineshwaran sejurus tamat perlawanan.
Sebagai rekod, ini merupakan kali kelima PDRM menjadi juara piala teragung sukan ragbi negara selepas turut melakukannya pada edisi 1983, 1985, 1991 dan 2023.
Sementara itu, Terengganu pula menjadi pasukan ketiga terbaik bagi saingan musim ini selepas membenam cabaran Selangor menerusi kemenangan 43-39 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat. – KOSMO! ONLINE