GEORGE TOWN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan parah setelah terjatuh dari bilik tidur utama, tingkat 12 sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin, Gelugor di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, polis menerima maklumat kira-kira pukul 9.50 pagi tadi dan kejadian dilaporkan berlaku pukul 9.20 pagi.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa ditemui oleh neneknya berusia 63 tahun yang juga penjaganya di tingkat tujuh bangunan terbabit.
“Mangsa yang merupakan anak tunggal dikatakan terjatuh dari tingkap bilik tidur utama. Ketika kejadian, nenek mangsa berada di dalam tandas.
“Mangsa dilaporkan parah di seluruh anggota badan dan kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta,” katanya kepada Kosmo! di sini, malam tadi.
Ditanya sama ada mangsa sedang mencari neneknya sebelum ditemui terjatuh, Swee Sake memberitahu yang pihaknya tidak dapat memastikan akan perkara terbabit kerana tiada saksi semasa kejadian berlaku.
Jelas beliau, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. -KOSMO! ONLINE