PADANG RENGAS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak peduli dengan kritikan terhadap dirinya kerana fokus kerajaan ketika ini adalah untuk membantu rakyat yang memerlukan.
Beliau berkata, antara kritikan yang dimaksudkan tersebut termasuklah caranya berpakaian serta penggunaan istilah-istilah seperti ketimbang, baru-baru ini.
“Sebab itu kalau (pembentangan) belanjawan itu dua jam setengah saya tak kacau orang. Saya tak kecam dan maki orang walaupun dalam perbahasan maki. Saya pakai songkok senget sikit pun dia marah, pakai baju Melayu pakai capal pun tak kena.
“Kemudian saya guna istilah-istilah baharu macam ketimbang pun dia tak faham. Kita jadi pemimpin kita tingkatkan penguasaan bahasa,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Padang Rengas, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, penggunaan istilah-istilah tidak popular telah diamalkan beliau agar perkataan-perkataan itu dapat diperkenalkan kepada masyarakat.
“Dulu tak ada alaf, saya gunakan. Dulu tak ada mampan, saya perkenalkan. Tidak ada telus, saya perkenalkan. Tidak popular kesenjangan, kita popularkan. Kita didik anak-anak kita supaya menguasai bahasa.
“Ketelusan itu ia bahasa daerah di Selangor, yang ganti transparensi. Kita guna mansa, itu bahasa Iban, kita perkenalkan. Kita guna alaf, bahasa Arab. Kita guna taklif, bahasa Arab,” katanya.
Tegas beliau, sekiranya beliau menghabiskan masa menjawab isu-isu berkenaan ia hanya menghalang tugasnya untuk membantu rakyat.
“Bagi saya kalau nak jawab ini letih, kerja tak jalan. Sebab itu saya nasihat kawan-kawan semua dari semua parti, masa ini masa untuk angkat nama Malaysia, buat kerjalah. Nak bergaduh tunggu pilihan raya esok, bergaduhlah.
“Sekarang kerja, angkat martabat negara dan rakyat kita,” katanya yang turut menegaskan agar kerajaan negeri tidak mengabaikan projek-projek berskala kecil bagi membantu penduduk setempat. – KOSMO! ONLINE