PUTRAJAYA – Rumah tangga yang dibina pelakon Que Haidar dan Linda Jasmine selama 15 tahun akhirnya bernoktah apabila bercerai talak satu pada 2 Julai lalu.
Tenang mengesahkan status perkahwinannya, Que atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 45, berkata, semua itu diterima sebagai ketentuan Allah selain menegaskan hubungannya dengan Linda masih terjalin baik.
“Allahuakbar, alhamdulillah itu (perceraian) yang Allah aturkan. Saya minta semua doakan yang terbaik untuk saya dan Linda. Tapi kami masih baik, tiada siapa yang mahu bercerai.
“Mungkin ini jalan yang terbaik, kami masih berkawan demi anak-anak. Perceraian kami berlaku pada 2 Julai lalu,” katanya kepada Kosmo! Online pada Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA2024) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.
Que bagaimanapun enggan mendedahkan punca perpisahan sebaliknya memberitahu keputusan tersebut dilakukan secara sepakat.
Namun, dia turut bersyukur kerana anak-anaknya iaitu Ratu dan Cleopatra sudah matang untuk menerima perceraian tersebut.
“Hal rumah tangga merupakan hal peribadi. Perkara seperti ini bukanlah untuk dibanggakan dan lebih baik simpan sendiri, doakan yang terbaik.
“Kami masih saling memberikan sokongan, apa yang terbaik untuk kami berdua dan anak-anak. Tidak ada benda yang perlu diuar-uarkan atau dikongsi.
“Hubungan kami masih sangat baik dan Alhamdulillah anak-anak juga terima semua ini dengan matang. Tiada perbalahan antara kami,” ujarnya.
Que dan Linda mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 15, dan Tengku Cleopatra Haidar, 12 tahun.
Linda sebelum ini pernah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata lelaki iaitu Qalif Khan yang kini berusia 24 tahun. – KOSMO! ONLINE