THAILAND – Pelumba sensasi Sepanyol, Marc Marquez mempamerkan aksi luar biasa pada sesi latihan bebas Grand Prix Thailand apabila mencatat masa terpantas, sekali gus mencipta rekod baharu di Litar Antarabangsa Chang, Buriram.
Marquez yang baru sahaja meraih kemenangan gemilang di Australia terus membuktikan kemampuannya bersama Gresini Racing dengan merekodkan catatan masa 1 minit 29.165 saat (s) di Buriram untuk mendahului rakan sepasukan, Jorge Martin.
Persaingan sengit turut menyaksikan Martin yang sedang mendahului kedudukan kejuaraan, mencatat masa 1 minit 29.275s pada saat-saat terakhir, menjadikannya pesaing terdekat Marquez pada sesi latihan tersebut.
Keputusan Marquez meningkatkan debaran menjelang perlumbaan utama dengan juara dunia enam kali itu dijangka meneruskan momentum untuk menguasai litar dan bakal mencabar kejuaraan.
Kekuatan Ducati jelas mendominasi dengan empat pelumba teratas adalah dari pasukan tersebut termasuk Enea Bastianini di tempat ketiga dan Franco Morbidelli dari Pramac Ducati di tempat keenam.
Di samping dominasi Ducati, Maverick Vinales dari Aprilia berjaya menembusi pasukan tersebut dan menduduki tempat kelima sementara pelumba muda Tech3 GasGas, Pedro Acosta pula mencatat masa ketujuh terpantas, membolehkanya layak ke sesi Q2. – AGENSI