MANCHESTER – Isu kecederaan pemain terus menghantui Manchester United sekali gus memberi kesan kepada kualiti pasukan itu untuk hadapi West Ham United, malam ini bagi terus mencari rentak kemenangan.
Pengurus United, Erik Ten Hag terpaksa mengakui bahawa masalah itu mengehadkan kemampuan pasukan dan kini mengharapkan bintang berpengalaman, Jonny Evans mampu menambah kekuatan The Red Devils khususnya di bahagian benteng.
“Masalah kecederaan mengehadkan kemampuan kami, mungkin juga akan beri kesan kepada kedudukan pasukan dalam liga. Apabila tidak dapat senaraikan pemain terbaik, pasti akan ada kesukaran.
“Kami perlukan lebih ramai pemain dan semua orang dalam pasukan terutama kakitangan sokongan perlu bekerja lebih keras untuk mengembalikan pemain yang cedera. Apabila mereka (pemain cedera) kembali, kami adalah pasukan yang sukar untuk ditentang.
“Ini sudah pun terbukti seperti apa yang pernah kami tunjukkan dalam tempoh beberapa bulan sebelum ini,” katanya.
Ketika ini The Red Devils sudah pun hilang khidmat Kobbie Mainoo, Leny Yoro, Harry Maguire, Luke Shaw, Tyrell Malacia, Mason Mount dan terbaharu Antony yang mengalami kecederaan ketika seri 1-1 dengan Fenerbahce.
Dalam empat aksi Liga Perdana Inggeris sebelum ini, United hanya mencatatkan satu kemenangan dan dua seri. – AGENSI