LONDON – Arsenal bakal turun menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool di Emirates tengah malam ini dengan beberapa isu kecederaan dan kecergasan pemain.
Bagaimanapun, pengendali pasukan itu, Mikel Arteta masih yakin pasukannya masih memiliki ramai pemain yang mampu diturunkan dan memberikan aksi pada tahap yang sama dengan pemain utama yang mungkin terpaksa disisihkan.
Tiga pemain, Bukayo Saka, Ricciardo Calafiori dan Jurrien Timber tidak pasti mampu diturunkan atau sebaliknya, manakala pemain tengah yang juga ketua pasukan, Martin Odegaard pula belum pulih.
Arteta juga kehilangan seorang lagi pemain di benteng pertahanan apabila William Saliba tidak dapat beraksi akibat digantung selepas menerima kad merah pada perlawanan menentang Bournemouth minggu yang yang menyaksikan Arsenal tewas buat kali pertama musim ini.
“Sudah tentu kami tidak suka untuk berada dalam situasi ini, tetapi kami sangat bertuah kerana masih memiliki ramai lagi pemain yang memiliki sikap dan keinginan yang kuat untuk membantu pasukan.
“Kami tidak mahu berasa terlalu lemah dengan situasi ini, kami perlu menghadapinya. Kami sedar mengenai kualiti yang kami ada dan kemampuan kami untuk memberikan kesukaran kepada pasukan lawan.
“Walaupun ini membuatkan kami benar-benar sulit, tetapi saya tidak tidak fikir ia adalah yang paling sukar kami perlu hadapi. Kami sangat berkobar-kobar dan suasana juga sangat hebat menyebabkan kami tidak sabar untuk menentang Liverpool,” kata Arteta.
Saka masih belum beraksi selepas mengalami kecederaan ketika bersama skuad England awal bulan ini, manakala Calafiori tercedera ketika Arsenal menewaskan Shakhtar Donetsk pada aksi Liga Juara-Juara dan Timber terlepas tiga perlawanan lalu.
“Kami cuba melakukan yang terbaik untuk memastikan kesemua mereka kembali cergas, namun tidak ada sebarang jaminan,” jelasnya. – AGENSI