KAJANG – Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes meletakkan kepala khinzir di sebuah kedai roti canai di Bandar Teknologi Kajang, di sini pada 11 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kedua-dua lelaki berusia 35 dan 51 tahun itu ditahan pada 15 Oktober lalu.
Beliau berkata, berdasarkan laporan, kejadian terbabit disedari pemilik kedai selepas melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
“Menerusi rakaman itu, terdapat dua individu yang tidak dapat dikenal pasti memakai baju berwarna hitam dan helmet hitam serta merah telah masuk ke dalam kedainya.
“Mereka kemudiannya telah meletakkan daging kepala babi di atas kabinet dan dapur roti canai milik pengadu,”katanya dalam satu kenyataan.
Naazron berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan dan mendapatkan bukti bagi kes ini.
Sebarang maklumat berkaitan kes tersebut boleh disalurkan di Balai Polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Sarjan Ahmad Faizal Hasan di talian 019-7691924 bagi membantu siasatan.
Tambah beliau, klip video berkenaan kejadian itu juga telah tular di aplikasi X yang telah dikongsi pemilik akaun X update11111 yang memaparkan kejadian dua individu meletakkan kepala khinzir disebuah kedai makan. – KOSMO! ONLINE