ALOR SETAR – Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) minggu lepas ekoran masalah kesihatannya tampil secara maya memberi ucaptama pada Majlis Pelancaran The Greater Kedah di Seri Mentaloon, di sini hari ini.
Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu kelihatan sedikit lemah, namun tetap bersemangat menyampaikan ucapannya yang bertajuk Kedah Dalam Konteks Nasional dan Global sempena majlis tersebut.
Menurut Dr. Mahathir yang dijadualkan hadir sebagai tetamu khas, beliau terpaksa membatalkan kehadirannya atas nasihat doktor ekoran masalah kesihatannya itu.
“Saya ingin memohon maaf tidak dapat hadir kerana saya agak kurang sihat dan dinasihatkan oleh doktor untuk tidak terlalu banyak bergerak buat masa ini.
“Walaupun saya tidak dapat hadir, hati saya tetap bersama para hadirin. Kedah sudah pasti amat dekat di hati saya, tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain,” katanya ketika sesi ucaptama majlis tersebut yang dilancar oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dr. Mahathir dimasukkan ke IJN minggu lepas akibat mengalami jangkitan saluran pernafasan setelah mengalami batuk.
Terdahulu, akhbar melaporkan kes saman beliau terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan berbaur fitnah yang sepatutnya bersambung pada 16 Oktober lepas terpaksa ditangguhkan akibat masalah kesihatan pemimpin berusia 99 tahun itu. – KOSMO! ONLINE