PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke Pendusunan Ulu Kongsor di Padang Rengas, Perak bagi meninjau sendiri projek pembinaan jalan dusun.
Menurut Anwar, Ulu Kongsor adalah kawasan agropelancongan seluas 800 ekar meliputi 13 kawasan tapak perkhemahan, kawasan rekreasi dan dusun-dusun durian, getah serta kelapa sawit yang diusahakan sendiri oleh penduduk kampung.
“Memulakan pagi Ahad dengan mengadakan lawatan kerja ke Perak. Usai tiba, saya dan Menteri Besar Perak langsung ke Pendusunan Ulu Kongsor di Padang Rengas untuk meninjau sendiri projek pembinaan jalan dusun, di sini.
“Saya terpesona melihat keindahan kawasan Pendusunan Ulu Kongsor yang cukup indah dan nyaman dengan kawasan ladang dan dusun yang menghijau serta air sungai yang jernih.
“Pembinaan jalan dusun baharu sepanjang tiga kilometer bernilai RM1.3 juta ini mungkin dilihat kecil sesetengah pihak yang mengukur kemajuan dengan projek raksasa, namun hakikatnya ia cukup penting untuk penduduk kampung, terutama pemilik dusun di sini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, projek itu dijangka akan meningkatkan akses pelancong ke kawasan dusun apabila ia siap pada hujung tahun ini, sekali gus melonjak pembangunan ekonomi tempatan dan meningkatkan pendapatan penduduk kampung. – KOSMO! ONLINE