fbpx

Wanita ditahan bantu siasatan kematian lelaki warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG lelaki dipercayai mati dibunuh dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Klebang semalam.

IPOH – Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang lelaki warga emas dipercayai dibunuh di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya di Klebang, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan terhadap wanita warga tempatan berusia 24 tahun itu dibuat di rumahnya pada hari sama.

Katanya, semakan mendapati wanita berasal dari Sabah itu tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Maklumat kejadian itu diterima pada pukul 6.13 petang yang memaklumkan terdapat seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya.

“Pemeriksaan terhadap tubuh lelaki itu mendapati tiada sebarang kecederaan melainkan terdapat kesan pergelutan dipercayai antara mangsa dan suspek,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, suspek yang tidak bekerja itu tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan mangsa.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Jumaat depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Sukjit Singh di talian 019-5505536 atau balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI