KUALA LUMPUR – “Memang saya kalau boleh tak mahu heboh sebab risau kawan bimbangkan keadaan kita.”
Itu kata pelakon dan pelawak Ebby Yus yang kini berjuang meneruskan kehidupan walaupun sudah empat bulan tidak mampu bekerja akibat penyakit lemah jantung dan buah pinggang.
Ebby, 59, yang ditemui wartawan Hanisah Selamat dan jurufoto Muhammad Iqbal Rosli di kediaman pembantu peribadinya hari ini berkata, demi meneruskan kelangsungan hidup, dia kini sanggup menggadaikan lima keris koleksi peribadinya.
“Selepas memasang alat perentak jantung Disember tahun lalu, saya sudah tidak mudah pitam, tetapi masih belum boleh buat kerja berat atau ambil ‘job’ di luar studio biarpun kalau boleh saya nak bekerja.
“Penyakit lemah jantung yang saya hidapi sejak 2018 membuatkan tenaga saya tidak kuat dulu, tambah-tambah sekarang apabila saya kena mulakan rawatan dialisis pula akibat sakit buah pinggang.
“Dahulu saya sudah jual empat kereta, sekarang saya ada keris lama yang mempunyai nilai kepada pengumpul. Alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat tampung belanja harian,” katanya kepada Kosmo! Online.
Belum begitu cergas selepas tiga hari dibenarkan pulang ke rumah, anak seni berbakat besar itu hakikatnya sudah berkampung di hospital selama 17 hari sedawi awal bulan ini.
Katanya, selepas pembedahan memasang perentak jantung akhir tahun lalu kesihatan berada pada tahap yang baik dan dapat memenuhi beberapa tawaran kerja termasuk bersama Sepahtu Reunion.
Namun, insiden terbaru yang mengakibatkannya pening akibat tekanan darah rendah sekitar awal Oktober ini membawanya ke Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dirawat lebih dua minggu.
“Kesihatan saya mula terganggu sejak empat bulan lalu hingga pergerakan semakin terbatas tetapi tidak ramai tahu keadaan saya (masuk wad) kerana tidak mahu hebohkan.
“Saya jalani pembedahan kecil pada perut bagi memasukkan tiub untuk memulakan rawatan dialisis air di rumah namun luka saya dijangkiti kuman yang menyebabkan saya lama di hospital.
“Dalam tempoh ini berat saya dari 72 kilogram (kg), susut kepada 60 kg,” katanya.
Dialisis air
Menurut Ebby lagi, buat sementara waktu dia perlu menjalani dialisis darah di hospital sebelum mula melakukan dialisis air di rumah empat kali sehari dalam tempoh terdekat.
“Esok (Ahad) saya perlu ke hospital lagi bagi menjalani rawatan susulan selain periksa tiub atau kateter yang dipasang pada bahagian perut saya,” ujarnya.
Pada masa sama, aktor yang sudah hampir empat dekad aktif dalam industri seni itu berterima kasih kepada saudara dan rakan yang datang melawat serta menghubunginya bertanya khabar.
“Memang saya kalau boleh tak mahu heboh sebab risau kawan bimbangkan keadaan kita. Kalau rakan artis ramai termasuk Jepp Sepahtu dan Roy Azman yang datang dengan geng konvoi bermotosikalnya.
“Terima kasih sangat-sangat sebab sampai sekarang masih ramai telefon, mesej dan tanya khabar. Banyak kata-kata semangat saya terima. Terima kasih juga yang hulurkan bantuan dan bersedekah,” katanya.
Selepas ini, penggiat seni asal Negeri Sembilan itu akan tinggal bersama kakak keduanya di Port Dickson dalam tempoh sebulan lebih.
Tahun lalu, Ebby pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), HKL berikutan tahap kekuatan jantungnya menurun sebanyak 27 peratus dan menjalani pembedahan memasang perentak jantung. – KOSMO! ONLINE