fbpx

Suami isteri maut anak cedera MPV langgar jentera pengorek jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba mengangkat mangsa yang terlibat dalam kejadian kemalangan di Jalan Kuantan-Maran berhampiran Kem TUDM Batu 10 awal pagi ini.

KUANTAN – Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan pelbagai guna yang dinaiki mereka melanggar sebuah jentera pengorek jalan yang diletakkan di tepi jalan di Jalan Kuantan-Maran berhampiran Kem TUDM Batu 10 di sini awal pagi ini.

Mangsa yang maut ialah pemandu kenderaan jenis Nissan Xpander, Mohd Fadli bin Mohd Abidin, 42, yang merupakan pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan isterinya, Rohafiza Taha, 50, yang merupakan seorang guru.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke arah Kemaman.

“Apabila sampai di tempat kejadian, semasa bergerak lurus, tiba-tiba kenderaan dinaiki mangsa hilang kawalan dan melanggar jentera pengorek tanah yang di letakkan di bahu jalan.

“Akibat kemalangan tersebut pemandu dan penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang belakang yang berusia 11 tahun mengalami cedera parah,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan permukaan jalan rata serta semasa kejadian cuaca baik dan tahap pencahayaan gelap. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI